Isnin, 28 September 2009

SEMANTIK

SINONIM

Sinonim ialah kesamaan makna, atau kata-kata yang memiliki makna yang sama atau hampir sama. Contoh,
- kereta sama erti dengan motokar
- sejuk sama erti dengan dingin

namun begitu, terdapat sejumlah perkataan yang tidak memiliki makna yang sama 100%, walaupun kedua-dua perkataan tersebut bersinonim. Contoh,

1. wanita
2. gadis

wanita dan gadis merujuk manusia yang sama dari segi jantinanya. Namun begitu, dari segi semantiknya, wanita mempunyai ciri-ciri 'dewasa' manakala gadis memiliki ciri-ciri semantik 'muda'.

Terdapat pula perkataan yang bersinonim tetapi memiliki nilai rasa yang berbeza-beza. Contoh,

3. panas
4. hangat

Kedua-dua perkataan no. (3) dan no. (4) memiliki maksud yang sama tetapi berlainan nilai rasa. Contoh,
1. Air itu panas.
2. Air itu hangat.

Kedua-dua perkataan iaitu panas dan hangat, betul penggunaannya dalam ayat. maknanya, perkataan hangat dan panas boleh bertukar ganti, sama ada air panas atau air hangat boleh diterima.

Bagaimanakah pula dengan ayat-ayat di bawah ini?

3. Cuaca hari ini panas.
4. Cuaca hari ini hangat.

Dari segi semantik, perkataan panas dan perkataan hangat sudah berbeza. Perkataan panas dalam ayat 3 betul dari segi nilai rasa cuaca. Perkataan hangat tidak menunjukkan nilai rasa yang tepat bagi cuaca.

Demikianlah sedikit sebanyak yang dapat dikongsi berkaitan semantik bagi perkataan bersinonim.

Khamis, 27 Ogos 2009

MAKNA PERKATAAN

Apakah perbezaan antara perkataan 'dapat' dan 'boleh'?


Sekilas pandang kedua-duanya tidak ada bezanya. Namun begitu, jika kita lihat dalam konteks ayat, jelas perbezaannya.


Makna perkataan 'dapat' merujuk keupayaan atau kemampuan manakala makna perkataan 'boleh' berkait rapat dengan keizinan.




Contoh ayat:


1. Bolehkah saya masuk ke dalam dewan kuliah?


2. Awak tidak boleh masuk ke dalam dewan kuliah.


3. Dapatlah awak mendaki Gunung Kinabalu?


4. Saya tidak dapat mendaki Gunung Kinabalu.


Ulasan: Perkataan 'boleh' dalam ayat 1 dan ayat 2 bermaksud keizinan manakala maksud perkataan 'dapat' dalam ayat 3 dan ayat 4 bermaksud keupayaan atau kemampuan.

Ujian: Nyatakan sama ada ayat yang berikut betul atau salah




1. Oleh sebab sakit, Ali tidak boleh hadir ke sekolah ( ).


2. Cikgu tidak boleh mengajar kerana suasana dalam kelas yang bising ( ).


3. Burung itu tidak dapat terbang kerana sayapnya patah ( ).


4. Semua pelajar boleh lulus jika belajar dengan bersungguh-sungguh.


Isnin, 17 Ogos 2009

PENULISAN



Judul Buku : Anak-Anak harapan
Antologi Bersama Hari Guru Perak


Sinopsis : Buku ini merupakan himpunan karya pelbagai genre pemenang peraduan mengarang hari Guru Perak 1995. Karya saya, 'padamu guru' dan 'anak generasi' hanya mendapat hadiah sagu hati


Judul : Rumah Pusaka
Penulis : Antologi bersama
Tahun terbit : 1989
Penerbit : JPN Perak
Sinopsis :
Himpunan karya pelbagai genre pemenang-pemenang hadiah sastera Hari Guru perak 1989. Karya saya 'Anak Generasi' merupakan karya awal saya dalam penulisan.



Jumaat, 31 Julai 2009

SAJAK MERDEKA

DI TEBING SEJARAH PASIR SALAK

Menyelusuri tebing sejarahmu yang panjang
aku kembali menghitung
jejak-jejak saudaraku:
jejak saudara demi ayahanda
jejak ayahanda membina keluarga
sakit sehari berabad peritnya.
Di tebing mandian ini
masih segar terdengar
jerit pekik saudara-saudaraku
menyinsing lengan menghunus keris sejarah
rancak bertingkah menghalau sipenjajah
di wajah mengalir keringat menyimbah
Pasir Salak katamu,
bakal menakung darah
Inggeris keparat lari
menyerah kalah.

Dari keringat nestapa saudara-saudaraku
warisan ini berjaya kita bangunkan
dari tanah sekepal tumbuh merimbun
jadi mukim kenyataan
jadi taman peradaban.


Mahayuddin Ibas
(Mingguan Malaysia)
POHON KEHIDUPAN

Pohon-pohon yang merendang
dalam taman kehidupan
jadi teduhan anak-anak
tatkala kelelahan
berlarian di celah-celah denai perjalanan
sayup memanjang tiada titik
kesudahan.

Buah-buah kehidupan yang meranum
di puncak perjalanan itu
adalah tuaian nestapa
dari benih-benih penantian yang panjang
terakam dalam simpang-siur pengalaman
terbina dari akar rerambutku
teradun dalam lembut air kasihMu.


Terima kasih pohon-pohon kehidupan
kerana menghulur secebis kasih
dari untaian rahmatMu yang tak terhitung
dengan siraman doa nirmala
bergayut di dahan tawakal
dan mengutip buah-buah kemenangan
di puncak
KEINSAFAN...

Mahayuddin Abas
Teluk Intan Pk
(Berita Minggu)




MANGGIS II


Sebiji manggis yang luruh
di belakang rumahku
kujamah isinya
alangkah manis rasanya.
Sebiji manggis
kutenung di balik hitamnya
terserlah putih hatinya.

Sebiji manggis
hitam kulitnya
manis budinya
meskipun hitam kulitnya
tapi putih hatinya.

MBI
TI
(Mingguan Malaysia)




SEBUAH RUMAH

Sudah sekian lama
rumah tua
di pinggir bukit
terbiar kosong
tanpa gelak tawa dan tangisan anak kecil
tanpa leteren ibu di dapur
tiada lagi suara serak ayah
mengalunkan ayat-ayat suci
dan ucap salam hidangan selamat malam.

Ke mana perginya ayah bonda
yang mendewasakan rumah kita ?
Ke mana menghilangnya anak-anak
penerus harapan bonda ?

Rumah itu milik kita sebenarnya
yang berbudi bahasa, berjasa, berbudaya
namun pernahkah terfikir
untuk kita mengucapkan
terima kasih ?

Rumah papan atap rumbia di pinggir bukit
tidak lagi dikenang dan dikunjungi
kerana mereka sudah berjaya
memiliki rumah baru
kondominium mewah
di puncak bukit.


MBI
Lumut Perak
(Berita Minggu)

Rabu, 27 Mei 2009

SAJAK KEPADA SEORANG PENGETUA

SAJAK UNTUK SEORANG PENGETUA
(Khas buat Pn. Hjh. Noraini Hasbollah
Mantan Pengetua SMK Seri Kandi)


TIBA SAAT DAN JANJINYA
KITAPUN DIPANGGIL
MEMENUHI DEWAN KEIKHLASAN
SAMBIL MEMBILANG BUAH-BUAH KEJAYAAN
YANG MERANUM DALAM TAMAN KENANGAN.

SELAMA INI AKU TAK PERNAH KENAL SIAPA DIA
MESKI NAMANYA SERINGKU DENGAR
KERANA AKU ADA SEBELUM DIA ADA
DIA ADA SEMASA AKU TIADA.

KETIKA NAMANYA DINOBAT MENGEMUDI SERI KANDI
KALA KITA MERABA-RABA KEHILANGAN KETUA
BARU KUKENAL SIAPA DIA
WARNA PERIBADINYA BERKILAU DAN GEMILANG
MENEROBOS KE SEGENAP RUANG RASA.

PERJALANANNYA BUKAN SEMUDAH YANG KITA SANGKA
DARI SERI PERAK DIA DATANG
DENGAN SEMANGAT MENYALA
MEMBAWA OBOR CITA MEMBARA
DARI SEMARAK BUDI SEMARAK BESTARI
DIA MELAKAR CITRA
WARGA CEMERLANG SERI KANDI GEMILANG.

DIA YANG KITA KENAL
ADALAH SRIKANDI BERILMU
BERKARISMA MENGUNGGULI TERAJU
PENYAYANG DAN PRIHATIN
TIARA PIMPINANNYA BERSEMI SEJAK MULA
TERUNGKAP DALAM CAHAYA MINDA
MENYERLAH KETOKOHAN MEMACU KEBITARAAN.

DI MANA-MANA PUN BERADA
DIA ADALAH IBU ADALAH BAPA YANG PERAMAH
MELONTAR IDEA PENUH HIKMAH
DALAM LEMBUT SANTUN SENYUM TAWA
DIA BIJAK MENGATUR BICARA MENYUSUN AGENDA
KERANA ILMU MAKRIFAT ANAK KUNCI ADALAH MILIKNYA.

DIA PEMIMPIN BERWAWASAN
KADANG KALA TINDAKNYA KERAS, TEGAS,
BERKAT DOA NIRMALA SEKUNTUM BUNGA
HARUMNYA SEGUNUNG HARAP
SEBUAH CINTA MAHU DIGILAP.

TIBALAH DI SUATU PETANG
SEBELUM BERANGKAT PULANG
DI BAWAH LONGGOKAN KOTAK-KOTAK PERIBADI
AKU CUBA MENYELONGKAR ISI HATI DAN BUDI
KATANYA, ‘AKU UMPAMA MUSAFIR DI ALAM FANA’
SELAGI DIRI BERASA TINGGI
SELAGI ITU TAK KITA KENAL RUMPUT DI BUMI
SELAGI DIRI TAK BERASA HAMBA
TAK KITA KENAL AL-KHALIQ PUNYA KUASA

AKU PASRAH KETENTUANNYA...


PETANG ITU
KETIKA PINTU BILIK DIBUKA
SEBELUM KOTAK-KOTAK DIBAWA PERGI
KULIHAT DI PIPINYA ADA BINTIK-BINTIK JERNIH
JATUH DI KAKI
LALU KUTANYA, ‘MENGAPA’?
JAWABNYA MESRA
INILAH TITIS-TITIS KASIH DARI LANGIT
BUAT HAMBA MUSAFIR DI ALAM FANA.

AKU TERSENYUM
AKU SUNGGUH-SUNGGUH TAK MENGERTI
RUPANYA DIA MENANGIS DI MALAM HARI.

DARI SERI PERAK DIA DATANG
KE SERI PERAK JUA DIA KEMBALI
KEMBALI MENUNAIKAN
AMANAH DAN JANJI
MENABUR JASA DAN BAKTI
UNTUK IBU PERTIWI.

Sebelum saat perpisahan itu menjelma
sebelum detik pemergian itu bermula
berbanyak ucap kasih dan rindu dendam
semoga hari esok berbunga buah kejayaan
bersama sihatnya tubuh badan
bersama kuatnya tindak iltizam
bersama bersihnya hati nurani
dengan jiwa yang tenang
mencerna masa depan.

MBI
Sajak ini dibaca ketika majlis
Jamuan Makan Malam ’Jasamu dikenang’
Restoran Sutera Indah T.Intan

Selasa, 26 Mei 2009

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LISAN BAHASA MELAYU
DENGAN PENDEKATAN KOMUNIKATIF

1.0 PENDAHULUAN


Dalam pengajaran kemahiran lisan, matlamat akhir yang ingin dicapai oleh pelajar ialah supaya mereka boleh menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Dengan kata lain pelajar-pelajar boleh menggunakan bahasa untuk berhubung dengan pihak lain dalam berbagai-bagai situasi. Pendekatan komunikatif tidak mementingkan penguasaan bahasa secara pencilan tetapi pendekatan ini menitikberatkan penguasaan pelajar dalam kecekapan berkomunikasi iaitu cekap menyuarakan isi hati dan fikiran sendiri dengan menggunakan kecekapan nahu (tatabahasa), sosiobudaya dan kognitif pelajar itu sendiri.
Munby (dlm Juriah Long:1980), menyatakan bahawa kecekapan nahu ialah cekap dalam menggunakan bentuk-bentuk bahasa seperti penggunaaan kosa kata, bentuk kata, ayat, semantik dan fonologi. Kecekapan komunikasi melibatkan kecekapan sosiobudaya iaitu pengetahuan dan kemahiran bahasa yang berkait rapat dengan latar dan persekitaran sosial pertuturan itu dilakukan. Tegasnya, kecekapan nahu dan kecekapan sosiobudaya berkait rapat dan tidak boleh dipinggirkan. Individu yang berkomunikasi tanpa pengetahuan sosiobudaya dan latar budaya dianggap tidak berbudaya (kurang adab) dan tidak tahu berbahasa.

2.0 PENERAPAN PENDEKATAN KOMUNIKATIF DALAM PENGAJARAN

Kalau kita semak Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) bahasa Melayu Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, kemahiran interpersonal menduduki tempat yang pertama dalam senarai Hasil Pembelajaran Utama (HPU) yang perlu diajar dan dikuasai oleh pelajar-pelajar. Menyedari betapa pentingnya kemahiran interpersonal ini diajar kepada pelajar-pelajar, maka tujuan penulisan ini adalah untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan berkaitan penerapan pendekatan komunikatif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, khususnya kemahiran lisan (bertutur dan mendengar)
Dalam suasana pengajaran dan pembelajaran, aspek lisan (kemahiran mendengar dan bertutur) sering diabaikan. Guru-guru menganggap aspek lisan tidak penting dan tidak membantu dalam peningkatan prestasi PMR dan SPM. Justeru, tidak mustahil ramai pelajar kita yang tidak mahir dalam berkomunikasi. Guru-guru pula lebih terdorong mengajar item-item yang disoal dalam soalan PMR dan SPM. bahasa Melayu secara pencilan. Banyak perancangan strategik diwujudkan khusus untuk memenuhi pencapaian yang saya maksudkan iaitu cemerlang dalam SPM dan PMR.
Dalam perbualan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, pelajar kita bukan sahaja lemah dalam aspek gramatikal malahan lemah dan tidak cekap dalam aspek sosial bahasa itu dituturkan. Contohnya, pelajar bukan Melayu menggunakan kata ganti diri orang kedua ’awak atau kamu’ kepada guru atau orang yang lebih dewasa daripadanya. . Hal ini tentulah menjejaskan pemahaman dan kualiti perhubungan antara penutur berkenaan.
Pelbagai situasi boleh diwujudkan bagi memotivasikan pelajar menggunakan kemahiran lisan melalui pendekatan komunikatif. Guru hendaklah kreatif dan bijak dalam memilih isi pelajaran yang disampaikan. Sebelum aktiviti komunikasi itu hendak dilaksanakan, guru hendaklah memberitahu pelajar-pelajarnya apakah tujuan aktiviti itu dilakukan. Adakah tujuan komunikasi itu untuk menjemput seseorang ke majlis keramaian atau adakah tujuan komunikasi itu untuk mengadu masalah, memberitahu hal, memaklumkan, memberikan komen dan seumpamanya. Dengan mengetahui tujuan sesuatu komunikasi, kita dapat menentukan bentuk-bentuk bahasa yang akan digunakan dalam perbualan berkenaan. Bentuk-bentuk bahasa berbeza mengikut situasi. Kalau kita berbual bersama-sama rakan sebaya, bentuk-bentuk bahasa mesra rakan sebaya sesuai digunakan. Kata ganti diri, kamu, awak, engkau sesuai digunakan. Jika situasi perbualan bersama-sama guru atau orang yang lebih dewasa misalnya, kata ganti diri, cikgu, tuan, pak cik, makcik dan sebagainya sesuai digunakan untuk menyapa individu berbenaan.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, jika guru ingin pelajar-pelajarnya menguasai perkara 1.0: iaitu berinteraksi untuk menjalin dan mempererat hubungan mesra (Rujuk Huraian Sukatan Pelajaran bahasa Melayu Tingkatan 1 – Ting. 5) guru hendaklah terlebih dahulu memberitahu pelajar-pelajarnya tentang tujuan komunikasi itu, iaitu untuk berbual dan mempererat hubungan mesra. Setelah pelajar mengetahui tujuan komunikasi tersebut, guru boleh mengadakan sesi perbincangan apakah bentuk-bentuk bahasa yang sesuai digunakan.dan makna sosial yang dihasilkan.
Littlewood (dlm Juriah Long et.al:1990) menyatakan bahawa aktiviti komunikatif perlu melihat beberapa perkara iaitu, peringkat prakomunikatif dan peringkat kedua iaitu, aktiviti komunikatif. Peringkat prakomunikatif, dimulakan dengan penyampaian butir-butir bahasa, iaitu struktur dan fungsi serta latihan terkawal. Peringkat kedua, guru menyediakan situasi bagi membolehkan para pelajar menggunakan bahasa pada peringkat prakomunikatif untuk aktiviti komunikasi yang sebenarnya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah menyampaikan pesanan, panduan, dan arahan. Berikut diperturunkan sedikit sebanyak strategi pengajaran bahasa Melayu lisan bersandarkan pendekatan komunikatif yang dimaksudkan.

Tajuk
: Meniti kejayaan
HPU
: 1.0 Berinteraksi untuk menjalin dan mempererat hubungan mesra
HPK
: 1.1 Berbual dan berbicara tentang perkara yang berkaitan dengan kehidupan harian yang menyentuh diri, rakan, dan masyarakat dengan menggunakan kata, intonasi dan nada yang sesuai
objektif
: Pelajar-pelajar dapat
1. Menggunakan kata-kata bertatasusila dalam perbualan.
2. Melafazkan kata-kata dengan intonasi dan nada yang sesuai
2. Menulis karangan bentuk prosa
Aktiviti
1. Memperdengarkan perbualan daripada alat perakam suara

2. Pelajar diminta mendengar perbualan tersebut dari segi:
- intonasi suara, dan nada

3. Minta pelajar mencatat bentuk-bentuk bahasa yang digunakan dalam perbualan.
4. Latih tubi menyebut bentuk-bentuk bahasa yang didengar dengan intonasi dan nada yang sesuai. Jika perlu rakaman tersebut boleh diulang dengar untuk mengenal pasti intonasi dan nada yang digunakan.
5. Guru mengedarkan bahan bercetak dan pelajar-pelajar membaca petikan tersebut.
6. Guru meminta pelajar-pelajar menyebut kata-kata bertatasusila dengan betul.
7. Minta beberapa orang pelajar berlakon dengan panduan skrip yang disediakan (Penekanan pada bentuk kata bertatasusial, intonasi, dan unsur-unsur paralinguistik)
Aktiviti susulan
1. Menulis karangan prosa (menukarkan ayat dialog kepada bentuk ayat cakap pindah)




Lampiran 1

Bacalah petikan wawancara di bawah ini. Kemudian, lakonkan bersama-sama rakan anda di dalam kelas.

Mawi
: Assalamualaikum, Dato’ (Mawi menghulurkan tangan bersalaman dengan Dato’ Kay)
Dato’
: Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. (mengalu-alukan kedatangan Mawi dan menyuruh Mawi duduk)
Mawi
: Saya, Mawi. Saya wartawan majalah Alaf Siber. Saya bercadang untuk mewawancara Dato’ tentang kejayaan Dato’ dalam bidang perniagaan. Itu pun jika Dato’ tidak keberatan.
Dato’ Kay
: Terima kasih kerana majalah Alaf Siber sudi memilih saya untuk diwawancara. Saya tiada apa-apa halangan.
Mawi
: Bolehkah kita mulakan, Dato’?
Dato’ Kay
: Silakan.
Mawi
: Soalan pertama daripada saya. Bagaimanakah bermulanya kehidupan Dato’ dalam bidang perniagaan ini?
Dato’ Kay
: Oh, panjang ceritanya! Dulu, Saya tak bermimpi pun nak menceburi bidang perniagaan ni. Semuanya bermula secara kebetulan. Selepas bapa saya meninggal dunia, saya mengusahakan kebun kelapa milik arwah bapa. Ketika itu, harga kelapa murah. Jadi saya buka gerai jual air kelapa muda.
Mawi
: Apa berlaku seterusnya, Dato’?
Dato Kay’
: (Sambil tersenyum) Setelah tiga tahun menjual air kelapa muda, saya buka gerai di bandar Teluk Intan. Permintaan air kelapa muda meningkat. Saya membekalkan kelapa muda kepada pihak pengusaha hotel di Ipoh dan di Kuala Lumpur.
Mawi
: Waktu tu, Usia Dato’ berapa tahun?
Dato’ Kay
: Waktu tu, umur saya baru 25 tahun. Berkat berjimat cermat, saya berjaya mengumpulkan wang hasil perniagaan.
Mawi
: Bila Dato’ berjaya membuka kilang santan ni?
Dato’ Kay
: Saya mengambil kursus keusahawanan anjuran Mara. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada, saya memberanikan diri membuka kilang santan.
(Sambil menarik nafas lega) Alhamdulillah, setakat ini kilang saya dah 10 tahun beroperasi. Kebanyakan pekerja di kilang saya tu, anak tempatan.
Mawi
: (tersenyum). Tahniah atas kejayaan Dato’ dalam bidang perniagaan. Saya bagi pihak Alaf Siber merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama Dato’.
Dato’ Kay
: Sama-sama. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak majalah Alaf Siber kerana sudi mengetengahkan saya dalam wawancara ini.


(Disesuaikan daripada Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan Tiga, 2007 (hal. 141) :Dewan Bahasa Dan Pustaka, K.Lumpur )










BIBLIOGRAFI

1. Asmah Haji Omar (2007), Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media, Dewan Bahasa dan Pustaka: K. Lumpur
2. Juriah Long et.al (1990), Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia, Fajar Bakti: P.Jaya Selangor
3. Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan Tiga(2007), Kementerian Pelajaran Malaysia (DBP) K.Lumpur
4. _______________(2003) Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Tiga, Pusat Perkembangan Kurikulum: K.Lumpur
5. Mohd Azhar et.al (2006), Permainan Kreatif, PTS Profesional, Selangor

Sabtu, 23 Mei 2009

SAJAK 7

BAGAN DATOH


Bagan Datoh
kuselusuri daerahmu di suatu musim
awan mendung membawa khabar duka
kelapa tiada harga
jeti penambang merawat luka di bibir senja.

Bagan Datoh
suara engkaukah yang mengusik tidurku
tersendu di malam penantian
pada nikmatnya pembangunan.
Pun begitu
kau petani dan nelayan
masih gagah berdiri
di tengah keriuhan ICT
menyiram tanah tercinta
dengan peluh baktimu
sambil membilang bilah-bilah hari yang tak pasti
tanpa piket dan demontrasi.

Kini
Bagan Datoh kuselusuri lagi
luka di jeti kian sembuh
dalam wajah baru
ia menyapa
katanya:
di sini bakal bersinar mentari
meratakan cahayanya
malam tentunya tidur lena
siang berpesta fatamorgana
bunga-bunga kemajuan
menggamit mesra.

Bagan Datoh
kulihat anak-anak
berlari meniti pelangi.

Mahayuddin Ibas
Karyawan Pk T.Intan

SAJAK 6

TITIPAN RINDU BUAT BONDA

(SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU)

Tatkala sendirian begini
aku sering ke sini
menguliti cerita-cerita lama
tentang episod-episod penghidupan
yang kita kongsi perjalanannya.

Tatkala sendirian begini
aku terkenang wajah tuamu
gigih menukang hidup
dengan kekuatan tulang-tulang peribadi
bersama resepi tiang-tiang pengalaman
meski lantai kemiskinan kian mereput
diinjak derita sengsara bertimpa.
Dalam menghitung daun-daun usia
yang menapak ke hujung musim
kau masih tabah
menyemai benih-benih harapan
dengan segala kudrat dan baja tawakal
sedang rembang petang masih setia
melingkari hidup kita.

Bonda
maafkan aku
kerana tak mampu melerai helaian deritamu
dan rembang petang itu
terus beradu di wajahmu.


Mahayuddin Ibas
Perkampungasn Penulis Muda
Pangkor 2003

(BERITA MINGGU 8 FEBRUARI 2004)

SAJAK 5

GURU - KITALAH PEJUANG SEBENARNYA

Bagai hari-hari kelmarin
kali ini kau datang lagi
bersama gemilang mentari pagi
tersenyumlah kuntum-kuntum seroja
wangi kasturi di taman bonda
kedatangan disambut hadirnya dijemput
dalam tepuk gemuruh bergema paluan kompang
kau dijulang ke tengah gelanggang
laksana wira terbilang.

Kau pejuang setia di bawah panji-panji pendidikan
melayari bahtera ke pulau bahagia meredah ombak resah bertali arus
waja gagah laksana SiTuah
patah tiang bertongkat alang
mengatur langkah penuh sopan dan berhemah
dalam gelanggang yang maha besar karenahnya.

Dunia kita adalah persekolahan
mengajar, mendidik,
di bilik-bilik darjah
kita mahaguru terbilang
dengan pedagogi dan epistemologi terkini
dengan kecanggihan IT dan dunia sibernya
penggerak budaya membaca
pencetus budaya ilmu dalam era
serba bestari.

Para guru budiman, buka mata bukalah minda
langit cerah kian terbuka
dunia maya terjaring di hujung jari kita.
percepat langkah
bangun!
bangun mendepani zaman
mengadap dunia baru
keras mencakar.
Ayuh kita bina wawasan masa depan
musim baru menuntut sebuah pengorbanan
dalam wadah perjuangan yang hakiki
menganjak paradigma dan gerak fikir
dalam mengenal makrifat dan kekuatan jati diri
mengangkat martabat dan maruah diri
guru cemerlang pendidikan gemilang
dalam dunia globalisasi tanpa sempadan.
“SELAMAT HARI GURU”, CIKGU.


Mahayuddin Ibas
SMK Seri Kandi
T.INTAN
26 NOV 2004

SAJAK 4

DI HUJUNG SEBUAH PELAYARAN

Di hujung sebuah pelayaran
kita pun dijemput untuk pulang
ke pelabuhannya.

Selamat pulang anak rantau
sekian lama menjejak nyanyian ombak
melayari rentak angin
dalam kolek hidup
yang sarat dengan deru
dan ombak cabarnya.

Kembara sudah berakhir
tambatkan segala kenangan
yang mengusik bibir ingatan
di dada pantai.

Kita harus berkemas
mempersiap diri menyahut panggilan
ke suatu pelayaran kekal abadi
yang entah bila
permulaannya.


Mahayuddin Ibas
Mingguan Malaysia
2000

SAJAK 3

DI TEBING SEJARAH PASIR SALAK

Menyelusuri tebing sejarahmu yang panjang
aku kembali menghitung
jejak-jejak saudaraku:
jejak saudara demi ayahanda
jejak ayahanda membina keluarga
sakit sehari berabad peritnya.
Di tebing mandian ini
masih segar terdengar
jerit pekik saudara-saudaraku
menyinsing lengan menghunus keris sejarah
rancak bertingkah menghalau sipenjajah
di wajah mengalir keringat menyimbah
Pasir Salak katamu,
bakal menakung darah
Inggeris keparat lari
menyerah kalah.

Dari keringat nestapa saudara-saudaraku
warisan ini berjaya kita bangunkan
dari tanah sekepal tumbuh merimbun
jadi mukim kenyataan
jadi taman peradaban.


Mahayuddin Ibas
(Mingguan Malaysia)

SAJAK 2

SEPOHON JASA YANG KAUTANAM

Entah mengapa
bila tiba musimnya aku segera
ingat padamu
dan sepohon jasa yang kautanam
di belakang rumah kita.
Tak kusangka
sepohon jasa yang kausemai bermusim yang lalu
bisa menggamit rindu anak-anak
dan sesekali pulang mengirim fatihah di pusaramu.

Masih kuingat
tatkala kauhela nafas sendu
kelak katamu:
pohon-pohon itu pengikat kasih anak-anak
buatmu di musim lain.

Di bawah rimbun pohonanmu
kukutip budimu satu-persatu
tapi apakah yang dapat
kusediakan untuk anak-anakku?


Mahayuddin Ibas
Karyawan Perak Teluk Intan

SAJAK

MENCARI KEKASIH (segugus kunci yang hilang)

Setelah kenyang menelan kealpaan
lewat perjalanan itu
dia menutup pintu dan bergegas turun
untuk pulang.
Di hujung perjalanan itu
dia teringat rumahnya
tidak berkunci
kosong dan sepi.

Tiba di ruang itu
dia membuka pintu
lantas ditanggalnya baju duniawi
yang kian lusuh
jauh-jauh dari sudut hati.

Terima kasih tuhan
kerna memberi cahaya
untuk aku kembali
mencari jalan pulang.


Mahayuddin Ibas
BERITA MINGGU
2003

soalan pep.tengah tahun 2009

SMK SERI KANDI TELUK INTAN PERAK


PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2009
BAHASA MELAYU 2

TINGKATAN 5 (LIMA)



BM 2 (1103/2)
2 jam 30 minit
8.10 – 10.40


JANGAN BUKA KERTAS INI SEHINGGA DIBERITAHU

Kertas soalan ini mengandung empat soalan.
Jawab semua soalan
Soalan 2(b), Soalan 2(c), Soalan 2(d) dan Soalan 4 berdasarkan teks Komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 5.
Jawapan anda hendaklah ditulis dalam kertas yang disediakan oleh pihak sekolah.
Jawapan anda boleh ditulis dalam tulisan Rumi atau Jawi





















SOALAN 1 : RUMUSAN
(30 MARKAH)

Baca petikan di bawah ini dengan te;liti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada masa ini Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita. Menerusi pendidikan, kita dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber dan kental jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni ini menghadapi beberapa kekangan, antaranya termasuklah masalah disiplin murid di sekolah-sekolah.
Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam telah diterima di samping ratusan aduan dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil ialah membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin murid. Semua maklumat bolehlah disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.
Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan mendaptkan bantuan pihak polis. Jika perlu, pihak polis boleh menahan murid yang beraada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Pihak kementerian mengingatkan pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah-sekolah. Hal ini demikian kerana Kementerian pelajaran menerima laporan terdapat pihak pentadbir yang cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka terutama sekolah yang berstatus elit.
Sebenarnya, masalah disiplin yang berlaku boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan , denda, gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes mestilah disiasat dengan terperinci. Tindakan ini diambil supaya kita berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata keran ingin menarik perhatian dan mereka bukannya penjenayah.

(Dipetik dan disesuaikan daripada ’Realiti Semasa Masalah Disiplin Murid’ Oleh Noor Khairiyati Mohd Ali,
Dewan Masyarakat, April 2005)



Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2(a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawablah soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata, sekolah yang berstatus elit. (2 markah)
(ii) Apakah peranan pendidikan di negara kita? (3 markah)
(iii) pada pendapat anda, bagaimanakah pendekatan kaunseling dapat mengurangkan masalah disiplin di sekolah? (4 markah)




Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah ini, kemudian jawablah soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

“Cikgu lihat keputusan ujian Mariah bulan lalu cukup mengecewakan.” Mariah tersedak. Cikgu sudah memulakan satu perbicaraan mencari puncanya, fikirnya. Sekali ini dia diduga sama ada belajar berbohong atau menentang kemungkaran itu. Sekali gus juga Mariah berasa dia dicabar supaya memaniskan kata-kata supaya Cikgunya itu tidak berasa kecil hati.
Wajarkah rahsia-rahsia yang selama ini dibungkus dalam lipatan ingatannya didedahkan begitu senang? Apakah Cikgu Tini boleh menyelesaikan masalah muridnya ini?
Rasanya mustahil. Cikgu Tini terlalu muda dan hanya mampu mendengar rintihan. Apakah Cikgu Tini boleh memujuk ayahnya, untuk mengembalikan imej seorang ayah kepada tahap yang selayaknya?
Kalau Lebai Kudin sudah mengangkat tangan menyerah kalah, masakan pula Cikgu Tini. Mariah memejamkan mata.
”Mariah ada masalah. Cakaplah terus terang,” Mariah mendengar suara Cikgu tini seperti di hujung pernafasan. Kecil dan ngilu. Dia terperangkap dan serba salah.

(Dipetik daripada, ‘Mariah’ oleh Sharif Putera dalam Antologi Kerusi, DBP)

(i) Mengapakah Mariah tidak yakin dengan kemampuan Cikgu Tini menyelesaikan masalah yang dihadapinya? (3 markah)
(ii) Jika ada Mariah, adakah anda akan berterus terang kepada Cikgu Tini tentang masalah yang anda hadapi? (3 markah)
(iii) Huraikan dua (2) persoalan dalam petikan dan satu (1) persoalan lain dalam keseluruhan cerpen (3 markah)

Soalan 2(c) – Petikan prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawablah soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka diamlah dia di Pagaruyung. Dan sehari-hari ia naik bermain-main ke atas peterana itu. Maka dilarangkan oleh dayang-dayang, takut ia tulah. Maka kata Puteri jilan, ”jangan dilarangkan Si Bujang itu, ia hendak melihat mahkotanya. Ialah yang warisnya, dan tiada ia tulah, kerana ia anak adikku, di Johor.” Dan bermainlah ia bersama-sama dengan anak Yamtuan Sakti.
Dan Tuan Bujang pun sampailah umur tiga belas. Maka Tuan Bujang pun minta pergi ke Batanghari, hendak mencari ilmu. Maka dilepas akan Puteri jilan. Maka Tuan Bujang pun turunlah, menumpang orang Minagkabau, orang Pagaruyung. Dan berjalan sampai ke Tambang, dan lalu ke Limun, batanghari. Serta sampai di situ, maka Tuan Bujang pun hendak pergi ke Rawas, Hulu Palembang. Dan Tuan Bujang pun sampailah ke Rawas, lalu hilir ke Palembang. Dan Tuan Bujang datang menghadap Sultan Lema Abang, lalu Tuan Bujang berdatang sembah, hendak berhamba akan dirinya, menggula.
Maka Sultan Lema Abang pun terlalu sukacita melihat Tuan Bujang itu. Maka dipeliharakan sultan. Jika sultan berjalan atau dihadap orang, akan Tuan bujang membawa tepak. Dan selama Tuan Bujang membawa tepak, sultan tiada boleh duduk di atas, kegatalan punggungnya, jikalau berjalan dahulu, sultan tiada terjalan, seperti ada orang memegangnya.

(Dipetik daripada ’Asal Usul Raja Kecil’ dalam antologi Kerusi, DBP)

(i) Berikan dua (2) faktor yang menyebabkan Tuan Bujang tidak akan terkena tulah apabila bermain-main di atas peterana. (2 markah)
(ii) Nyatakan dua (2) peristiwa luar biasa yang berlaku semasa Tuan Bujang berkhidmat dengan Sultan Lema Abang (2 markah)
(iii) Selain mengembara, kemukakan empat (4) cara yang boleh dilakukan untuk memperoleh ilmu pada masa sekarang. (4 markah)


Soalan 2(d) – Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawablah soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

KEINDAHAN YANG HILANG
I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
Terbang beriring di rembang petang
Renik-renik mengirai bulu carik
Melayang satu-satu berbaur debu
Lesu berapungan di air lalu.

Daun-daun menghijau alangkah segar
Kemilau danau disinar mentari
Kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
Kedamaian melingkar rimba
Lalu tumpah kasih nan jernih
Erat bertaut cinta kasih.

Malam hiba dadanya ungu duka
Pungguk tersedu pilu di atas batu
Bulan tiada lagi mendandan wajah
Bintang malam pun pudar sinarnya.

II
Orang bicara bulan bintang di makmal
Pada buku, data dan komputer
Lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
Bisa kembara di planet dan angkasa.

Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
Suara siapa parau mendera di malam lara
Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III
Bulan kini bukan lagi menara kasih jernih
Bitang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.

(Shamsuddin Jaafar
Antologi Kerusi
DBP)

(i) Bagaimanakah keadaan undan tua dalam petikan di atas? (2 markah)
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah keindahan alam semula jadi dapat dikekalkan?
(3 markah)

(iii) Nyatakan dua (2) pengajaran yang terdapat dalam petikan sajak di atas. (3 markah)


Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
(30 markah)

Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah ini untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) negara - negarawan
(ii) sejarah - sejarawan
(iii) karya - karyawan
(6markah)

(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Saya telah menulis beberapa buah buku permainan tradisional antara tahun 2001 hingga 2005.
(ii) Setiap petang wanita itu menyiram pokok-pokok bunga di sekeliling rumahnya.
(iii) Pelatih Program Khidmat Negara menjalani latihan intensif selama tiga bulan.
(6 markah)

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Gerakan Cintailah Bahasa Kita telah dilancarkan untuk mendokong usaha kemasyarakatan bahasa Melayu.
(ii) Perlantikan wanita itu sebagai pengurus syarikat akan di jalankan pada minggu hadapan.
(iii) Pengurusan syarikat itu mensasarkan peningkatan jualan productnya sebanyak lima puluh peratus pada tahun 2010.
(6 markah)

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Dia mengucapkan syukur dengan tuhan kerana telah mengurniai tubuh badan yang segar dan rezeki yang melimpah.
(ii) Latihan itu diadakan demi untuk mengeratkan hubungan antara kaum di negara yang berkhidmat ini.
(iii) Oleh kerana sudah lama berjalan, peristiwa itu sudah luput daripada ingatan kami.
(6 markah)


(e) Berikan maksud peribahasa di bawah ini.

(i) Bagaimnana acuan begitulah kuihnya
(ii) Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
(iii) Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah
(6 markah)



Soalan 4: Novel

(15 markah)

Jawab soalan di bawah ini berdasarkan novel Julia yang anda pelajari.

(a) Kemukakan dua (2) nilai murni dalam novel yang anda pelajari berserta dengan contoh-contoh yang sesuai. (7 markah)

(b) Kegigihan kaum wanita dalam mengharung kehidupan merupakan salah satu persoalan yang dipaparkan dalam novel, ‘Julia’.
Berikan ulasan anda
(8 markah)




KERTAS SOALAN TAMAT



Penyedia Soalan Disahkan oleh



Mahayuddin Bin Ibas ........................................
Panitia Bahasa Melayu
SMK Seri Kandi
BAHASA JIWA BANGSA

(MBI)


Laksamana Hang Tuah pernah berkata, “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”. Ungkapan sedemikian diucapkan oleh Hang Tuah dengan penuh sedar dan penuh tanggungjawab betapa bangsa Melayu ketika itu merupakan bangsa yang hebat dan dihormati. Siapakah Hang Tuah itu dan mengapakah tokoh itu berkata demikian? Dalam Hikayat Hang Tuah dinyatakan bahawa Hang Tuah merupakan ikon Melayu yang serba ideal. Hang Tuah digambarkan memiliki kesaktian yang luar biasa. Keperwiraannya mengatasi panglima-panglima perang sezaman dengannya. Hang Tuah manusia yang memiliki kecerdasan bahasa, bijak mengatur strategi perang, patriotik serta menjadi duta bagi kerajaan Melayu Melaka ketika itu.

Siapakah pula manusia Melayu yang dinyatakan oleh Laksamana Hang Tuah itu? Fasal 160 Perlembagaan Malaysia menyebutkan bahawa Melayu itu adalah,
“…seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan,
(a) lahir sebelum hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura, atau
(b) Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut”.
Dalam konteks yang lebih luas dan mengambil kira suasana hari ini, sesiapa sahaja boleh dikategorikan sebagai Melayu. Etnik Jawa, Banjar, Bugis, Kampar, waima orang yang ‘masuk Melayu’ pun boleh dianggap sebagai Melayu.

Berbalik pada kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu Hilang di dunia”. Memang tidak dinafikan bangsa Melayu ketika itu iaitu sejak abad ke-13 telah muncul sebagai bangsa yang disegani. Kekuatan kerajaan Melayu ketika itu bukan kerana kepintaran dan kecekapan pemerintahnya semata-mata malahan kerana budaya masyarakat Melayu ketika itu yang memberikan sanjungan tinggi pada identiti bangsanya sendiri. Identiti bangsa yang penulis maksudkan ialah bahasa Melayu, Agama Islam dan adat Melayu. Ketiga-tiga unsur ini menjadi nadi kekuatan kerajaan Melayu yang bercambah dan berselerak di Nusantara ketika itu.
Jika dilihat pada suasana dunia pada hari ini, iaitu era globalisasi yang mementingkan pembangunan material semata-mata, masyarakat semakin melupakan dan meminggirkan identiti bangsanya sendiri. Kita tidak pasti sama ada “Takkan Melayu Hilang Di dunia” yang diwara-warakan itu masih relevan atau sebaliknya. Penulis berkata demikian kerana telah ada riak-riak yang membuatkan keyakinan kita terhakis pada ungkapan keramat berkenaan.

Dari segi fizikal, memang tidak dinafikan tubuh badan Melayu masih wujud dan insyaallah akan terus wujud. Namun begitu, pada hemat penulis, jiwa atau roh Melayu semakin hari semakin merosot dan terus layu. Rata-rata orang Melayu yang kulitnya sawo matang, tidak ambil pusing dengan bahasa dan agamanya sendiri. Mereka malu mengaku diri mereka sebagai orang Melayu. Mereka tidak yakin dan malu mengaku kemampuan mereka berbahasa Melayu. Kononnya mereka lebih mahir berbahasa Inggeris kerana sekian lama hidup dalam masyarakat berbudaya Inggeris. Lebih mendukacitakan apabila ada pemimpin Melayu sendiri yang tidak mahu bertutur dalam bahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Ironisnya, bangsa bukan Melayu seperti Cina dan India menunjukkan kemampuan berbahasa jauh lebih baik daripada orang Melayu itu sendiri. Daripada pelajar-pelajar sekolah hinggalah pemimpin-pemimpin tertinggi; mereka menunjukkan kemampuan berbahasa Melayu dengan baik dan berjaya mengatasi orang-orang Melayu sendiri dari segi kelancaran, kepersisan berbahasa dan lenggang lenggok bahasa yang digunakan. Keadaan ini tentulah memalukan bangsa Melayu dan tidak membawa keuntungan pada kelangsungan bahasa Melayu di bumi Malaysia itu sendiri.

Sebagaimana yang disebutkan dalam bahagian awal tadi, hubungan bangsa Melayu dengan agama Islam begitu erat.. Dalam sebuah lagu, seniman agung P.Ramlee menyatakan bahawa irama dan lagu tidak boleh dipisahkan, jika dipisah pincanglah lagu. Sarjana Barat iaitu Van Der Kroef membuat perbandingan hubungan antara Melayu dan Agama Islam ibarat tubuh badan dan nyawa. Melayu tanpa Islam ibarat tubuh tanpa nyawa. Begitulahlah juga hubungan antara bahasa Melayu dengan Islam.

Bahasa Melayu sejak ratusan tahun lamanya telah digunakan sebagai bahasa untuk mengembangkan agama Islam itu sendiri. Banyak kosa kata dan istilah yang berhubung kait dengan konsep-konsep seperti keagamaan, perundangan, pendidikan dan sebagainya diasimilasi dalam bahasa Melayu. Tulisan jawi mengambil alih dan menjalar masuk dalam budaya Melayu menggantikan huruf-huruf kawi dan pallava.

Penghargaan masyarakat silam pada bahasa Melayu cukup kuat. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di perpulauan Melayu. Bahasa Melayu ditutur dan dipelajari oleh sesiapa sahaja yang ingin berurusan di pelabuhan Melaka. Bahasa Melayu digunakan sebagai pencetus polimik agama dan pengungkap tamadun bangsa.

Sebagai negara yang merdeka dan bermaruah, kita telah mengangkat bahasa Melayu ke kedudukan yang tinggi dan mulia. Untuk memenuhi syarat sebuah negara yang ingin merdeka kita telah memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Dengan bahasa Melayu, kita berjaya memupuk perpaduan, dan membina kekuatan bangsa. Namun begitu, usaha gigih pemimpin terdahulu untuk menjulang negara bangsa melalui pemantapan bahasa menemui jalan kelam apabila fungsi bahasa Melayu dicabar oleh segelintir masyarakat yang jahil dan kosong jiwa. Mereka dengan berani mempertikaikan kewajaran bahasa Melayu dalam menjana kemajuan ekonomi negara.

Dalam bidang pendidikan misalnya, mereka mendesak kerajaan supaya melonggarkan dasar penggunaan bahasa Inggeris di di institusi pengajian tinggi awam terutama yang berkaitan dengan kursus-kursus sains dan teknologi. Kejahilan pihak-pihak tersebut banyak berpunca daripada sikap orang –orang Melayu sendiri yang tidak menunjukkan minat dan keyakinan pada bahasa mereka.


Peranan pemerintah dalam mengangkat kedudukan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya memang dialu-alukan. Dalam konteks negara Malaysia, peranan pemerintah yang didominasi oleh politik Melayu amat diperlukan dan boleh memperkasa bahasa Melayu. Inilah masa yang terbaik bagi kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu boleh berada di mercunya jika kerajaan bertindak sebagai penentu arah tuju bangsa. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu suatu masa dulu menjadi bahasa yang dihormati dengan sokongan sultan dan pemerintah. Bahasa Melayu muncul sebagai saluran utama dalam hubungan komunikasi dan budaya intelektual. Tradisi ilmu berkembang luas dan banyak karya agung dihasilkan dengan menggunakan medium bahasa Melayu. Antaranya, Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Perak, Undang-Undang Johor, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan sebagainya. Ramai ilmuan Islam dijemput ke istana mengajar ilmu agama melalui perantaraan bahasa Melayu.

Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Melayu bukan milik peribadi bangsa Melayu semata-mata tetapi bahasa Melayu adalah milik semua kaum yang mengaku sebagai bangsa Malaysia. Bahasa Melayu bukan setakat dijadikan medium untuk berhubung semata-mata malahan juga digunakan untuk memupuk perpaduan kaum, membina jati diri bangsa sekali gus boleh diangkat menjadi bahasa bernilai tinggi dari segi ekonomi dan maruahnya. Dalam hal ini sekali lagi sikap positif pemerintah terhadap bahasa Melayu boleh membina kesetiaan rakyat pada bahasanya. Sikap kesetiaan ini boleh menjurus rakyat tidak kira bangsa dan agama anutannya menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin sebagaimana yang dilakukan oleh Negara Indonesia, Jepun, Perancis, dan Thailand pada bahasa mereka.

Bahasa Melayu memancarkan kehalusan budi dan nilai estetika budaya penuturnya. Oleh itu, orang yang memiliki kecekapan berbahasa dianggap sebagai pintar budaya masyarakatnya. Orang itu akan dihormati oleh masyarakatnya kerana dikatakan sebagai bersopan-santun dan berbudi bahasa. Keterikatan antara bahasa dan budaya menjelmakan berbagai-bagai ungkapan, dan kata-kata kiasan seperti, ‘Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’, ‘Ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas’, dan sebagainya.
Dalam budaya Melayu, orang yang menggunakan bahasa kesat dan kasar akan dianggap sebagai tidak berilmu atau rendah pemikirannya. Contohnya, dalam masyarakat Melayu, kita menggunakan kata sapaan hormat mengikut jantina, pangkat dalam kekeluargaan, status dalam masyarakat dan sebagainya. Bagi orang lelaki kata sapaan encik atau tuan. Bagi perempuan kata sapaan cik, cik puan atau puan digunakan. Dalam hubungan kekeluargaan, kata sapaan makcik, pakcik, mak long, pak lang dan sebagainya digunakan. Semua ini menggambarkan kehalusan budi dan tanda hormat antara satu sama lain.
Bangsa Melayu dikatakan memiliki kehebatan kerana mampu menjelmakan pemikiran kreatif melalui bahasanya. Daripada pemikiran kreatif inilah wujudnya hasil karya seperti pantun, syair, teromba, gurindam, seloka dan sebagainya. Gaya bahasa yang ditonjolkan dalam karya berkenaan seperti kata perbandingan metafora, simile, peribahasa, dan simpulan bahasa, merupakan pancaran minda dan ketinggian ilmu masyarakat Melayu sejak zaman berzaman. Dengan bahasa juga kita boleh menilai ketinggian tamadun serta falsafah sesuatu bangsa.
Negara kita baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, namun penerimaan dan keyakinan masyarakat kita pada bahasa Melayu masih meragukan. Akibat penjajahan selama lebih 500 tahun, bangsa kita mengalami krisis keyakinan pada identiti bangsa kita sendiri. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pemacu kejayaan dipertikaikan Rata-rata minda generasi kita beranggapan bahawa bahasa untuk kemajuan ialah bahasa penjajah iaitu bahasa Inggeris. Anggapan sedemikian sebenarnya bertitik tolak dari jiwa yang lemah dan tiada harga diri. Jika keadaan ini tidak dibendung secara bersungguh-sungguh dikhuatiri tahap keyakinan orang Melayu pada bahasanya akan beransur-ansur merosot dan terpinggir dalam arus perdana. Tidak mustahil, suatu masa nanti bahasa Melayu akan tinggal sejarah sebagaimana yang berlaku pada bahasa Sanskrit, bahasa Sumeria dan sebagainya.

Perkembangan mutakhir tentang bahasa Melayu memerlukan penggemblengan tenaga dan minda yang bukan sedikit daripada semua pihak terutama yang sayang akan masa depan bahasa dan agamanya. Pada hemat penulis, pemerintah yang didominasi oleh politik Melayu perlu bertindak waras dan tidak gelojoh dalam soal pendidikan. Pemerintah hendaklah menyerahkan urusan pendidikan kepada pihak yang pakar dalam bidangnya. Maknanya, orang politik biarlah menguruskan hal-hal berkaitan politiknya manakala soal pendidikan biarlah diuruskan oleh orang-orang yang pakar dalam bidang pendidikan. Langkah kerajaan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dewasa ini dilihat sebagai suatu langkah mengundur dan tidak patriotik. Kita khuatir, langkah kerajaan itu ibarat kata pepatah, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
Akhirnya, penulis berasa optimis bahawa bahasa Melayu akan terus cemerlang dan terbilang jika ada penyatuan fizikal dan minda orang-orang Melayu. Hakikat ‘ Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ akan terus relevan dan dihayati sampai bila-bila. Sebagai bangsa yang memiliki jiwa , tentunya kita tidak sanggup melihat bahasa kita dipergonjeng sesuka hati oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita juga tidak sanggup melihat anak cucu dan generasi yang akan datang mempersalahkan kita lantaran kealpaan kita membiarkan bahasa Melayu terus terhakis dan akhirnya ditempatkan di muzium-muzium sebagai khazanah untuk tatapan zaman semata-mata.
Bahasa Jiwa Bangsa…!