SEKALUNG BUDI SEUNTAI BAHASA
PENGARAH PELAJARAN PERAK
Saya ingin memanjatkan kesyukuran
ke hadrat Allah. S.w.t kerana dengan limpah kurnianya dapat saya mencoretkan
sepatah dua kata dalam buku atur cara sempena Pelancaran Kempen Budi bahasa dan
Nilai-Nilai Murni serta Program Pembudayaan Adab Peringkat negeri perak Tahun
2005.
Sesungguhnya,
program yan dilancarkan pada hari ini memang tepat pada masanya iaitu ketika
masyarakat kita pada hari ini tidak putus-putus dilanda krisi nilai dan kian
terhakisnya budi bahasa yang menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita.
Senario yang membimbangkan terutama yang membabitkan remaja dan pelajar-pelajar
sekolah seperti meningkatnya perlakuan jenayah, merebaknya penagihan dadah dan
meluasnya gejala sosial tentulah dapat mengeruhkan hubungan interpersonal
antara masyarakat dan institusi pendidikan serta menjejaskan iklim persekolahan
itu sendiri. Justeru, suatu langkah yang tersusun dan bersepadu perlu
digembleng daripada semua pihak agar kelangsungan hidup masyarakat kita dapat
dipertahankan dan dilestarikan.
Dalam
konteks pendidikan, keruntuhan nilai dan merosotnya amalan berbudi bahasa akan
menjelma berbagai-bagai kemungkinan dan dikhuatiri perjuangan masa depan
sesuatu bangsa akan terus digerhanai oleh warisan kepimpinan yang lemah dan
menjejaskan usaha kerajaan melahirkan generasi yang bermaruah bagi membangunkan
negara bangsa yang bertamadun dan bermartabat.
Bagi
pihak Jabatan Pelajaran Perak, saya mengucapkan syabas dan sekalung tahniah
kepada Pejabat Pelajaran Hilir Perak serta pihak-pihak yang telah
bertungkus-lumus menggembleng tenaga dan idea dalam menjayakan hasrat dan
cita-cita murni ini. Diharapkan melalui program yang dirancang secara tersusun
dan bersistem dapat kita mengorak langkah, sederap dalam tindakan bersandarkan
kebijaksanaan menuju malamat yang satu iaitu kecemerlangan ilmu dan keilmuan,
kegemilangan wawasan serta keterbilangan peradaban bangsa melampaui zamannya.
Sekian, terima kasih.
Lt. Kolonel Ir. Mohammed Zakaria
B. Mohd Noor
PMP., AMN., PPT., PPA.
Pengarah Pelajaran Perak