Jumaat, 31 Julai 2009

SAJAK MERDEKA

DI TEBING SEJARAH PASIR SALAK

Menyelusuri tebing sejarahmu yang panjang
aku kembali menghitung
jejak-jejak saudaraku:
jejak saudara demi ayahanda
jejak ayahanda membina keluarga
sakit sehari berabad peritnya.
Di tebing mandian ini
masih segar terdengar
jerit pekik saudara-saudaraku
menyinsing lengan menghunus keris sejarah
rancak bertingkah menghalau sipenjajah
di wajah mengalir keringat menyimbah
Pasir Salak katamu,
bakal menakung darah
Inggeris keparat lari
menyerah kalah.

Dari keringat nestapa saudara-saudaraku
warisan ini berjaya kita bangunkan
dari tanah sekepal tumbuh merimbun
jadi mukim kenyataan
jadi taman peradaban.


Mahayuddin Ibas
(Mingguan Malaysia)
POHON KEHIDUPAN

Pohon-pohon yang merendang
dalam taman kehidupan
jadi teduhan anak-anak
tatkala kelelahan
berlarian di celah-celah denai perjalanan
sayup memanjang tiada titik
kesudahan.

Buah-buah kehidupan yang meranum
di puncak perjalanan itu
adalah tuaian nestapa
dari benih-benih penantian yang panjang
terakam dalam simpang-siur pengalaman
terbina dari akar rerambutku
teradun dalam lembut air kasihMu.


Terima kasih pohon-pohon kehidupan
kerana menghulur secebis kasih
dari untaian rahmatMu yang tak terhitung
dengan siraman doa nirmala
bergayut di dahan tawakal
dan mengutip buah-buah kemenangan
di puncak
KEINSAFAN...

Mahayuddin Abas
Teluk Intan Pk
(Berita Minggu)




MANGGIS II


Sebiji manggis yang luruh
di belakang rumahku
kujamah isinya
alangkah manis rasanya.
Sebiji manggis
kutenung di balik hitamnya
terserlah putih hatinya.

Sebiji manggis
hitam kulitnya
manis budinya
meskipun hitam kulitnya
tapi putih hatinya.

MBI
TI
(Mingguan Malaysia)




SEBUAH RUMAH

Sudah sekian lama
rumah tua
di pinggir bukit
terbiar kosong
tanpa gelak tawa dan tangisan anak kecil
tanpa leteren ibu di dapur
tiada lagi suara serak ayah
mengalunkan ayat-ayat suci
dan ucap salam hidangan selamat malam.

Ke mana perginya ayah bonda
yang mendewasakan rumah kita ?
Ke mana menghilangnya anak-anak
penerus harapan bonda ?

Rumah itu milik kita sebenarnya
yang berbudi bahasa, berjasa, berbudaya
namun pernahkah terfikir
untuk kita mengucapkan
terima kasih ?

Rumah papan atap rumbia di pinggir bukit
tidak lagi dikenang dan dikunjungi
kerana mereka sudah berjaya
memiliki rumah baru
kondominium mewah
di puncak bukit.


MBI
Lumut Perak
(Berita Minggu)

Rabu, 27 Mei 2009

SAJAK KEPADA SEORANG PENGETUA

SAJAK UNTUK SEORANG PENGETUA
(Khas buat Pn. Hjh. Noraini Hasbollah
Mantan Pengetua SMK Seri Kandi)


TIBA SAAT DAN JANJINYA
KITAPUN DIPANGGIL
MEMENUHI DEWAN KEIKHLASAN
SAMBIL MEMBILANG BUAH-BUAH KEJAYAAN
YANG MERANUM DALAM TAMAN KENANGAN.

SELAMA INI AKU TAK PERNAH KENAL SIAPA DIA
MESKI NAMANYA SERINGKU DENGAR
KERANA AKU ADA SEBELUM DIA ADA
DIA ADA SEMASA AKU TIADA.

KETIKA NAMANYA DINOBAT MENGEMUDI SERI KANDI
KALA KITA MERABA-RABA KEHILANGAN KETUA
BARU KUKENAL SIAPA DIA
WARNA PERIBADINYA BERKILAU DAN GEMILANG
MENEROBOS KE SEGENAP RUANG RASA.

PERJALANANNYA BUKAN SEMUDAH YANG KITA SANGKA
DARI SERI PERAK DIA DATANG
DENGAN SEMANGAT MENYALA
MEMBAWA OBOR CITA MEMBARA
DARI SEMARAK BUDI SEMARAK BESTARI
DIA MELAKAR CITRA
WARGA CEMERLANG SERI KANDI GEMILANG.

DIA YANG KITA KENAL
ADALAH SRIKANDI BERILMU
BERKARISMA MENGUNGGULI TERAJU
PENYAYANG DAN PRIHATIN
TIARA PIMPINANNYA BERSEMI SEJAK MULA
TERUNGKAP DALAM CAHAYA MINDA
MENYERLAH KETOKOHAN MEMACU KEBITARAAN.

DI MANA-MANA PUN BERADA
DIA ADALAH IBU ADALAH BAPA YANG PERAMAH
MELONTAR IDEA PENUH HIKMAH
DALAM LEMBUT SANTUN SENYUM TAWA
DIA BIJAK MENGATUR BICARA MENYUSUN AGENDA
KERANA ILMU MAKRIFAT ANAK KUNCI ADALAH MILIKNYA.

DIA PEMIMPIN BERWAWASAN
KADANG KALA TINDAKNYA KERAS, TEGAS,
BERKAT DOA NIRMALA SEKUNTUM BUNGA
HARUMNYA SEGUNUNG HARAP
SEBUAH CINTA MAHU DIGILAP.

TIBALAH DI SUATU PETANG
SEBELUM BERANGKAT PULANG
DI BAWAH LONGGOKAN KOTAK-KOTAK PERIBADI
AKU CUBA MENYELONGKAR ISI HATI DAN BUDI
KATANYA, ‘AKU UMPAMA MUSAFIR DI ALAM FANA’
SELAGI DIRI BERASA TINGGI
SELAGI ITU TAK KITA KENAL RUMPUT DI BUMI
SELAGI DIRI TAK BERASA HAMBA
TAK KITA KENAL AL-KHALIQ PUNYA KUASA

AKU PASRAH KETENTUANNYA...


PETANG ITU
KETIKA PINTU BILIK DIBUKA
SEBELUM KOTAK-KOTAK DIBAWA PERGI
KULIHAT DI PIPINYA ADA BINTIK-BINTIK JERNIH
JATUH DI KAKI
LALU KUTANYA, ‘MENGAPA’?
JAWABNYA MESRA
INILAH TITIS-TITIS KASIH DARI LANGIT
BUAT HAMBA MUSAFIR DI ALAM FANA.

AKU TERSENYUM
AKU SUNGGUH-SUNGGUH TAK MENGERTI
RUPANYA DIA MENANGIS DI MALAM HARI.

DARI SERI PERAK DIA DATANG
KE SERI PERAK JUA DIA KEMBALI
KEMBALI MENUNAIKAN
AMANAH DAN JANJI
MENABUR JASA DAN BAKTI
UNTUK IBU PERTIWI.

Sebelum saat perpisahan itu menjelma
sebelum detik pemergian itu bermula
berbanyak ucap kasih dan rindu dendam
semoga hari esok berbunga buah kejayaan
bersama sihatnya tubuh badan
bersama kuatnya tindak iltizam
bersama bersihnya hati nurani
dengan jiwa yang tenang
mencerna masa depan.

MBI
Sajak ini dibaca ketika majlis
Jamuan Makan Malam ’Jasamu dikenang’
Restoran Sutera Indah T.Intan

Selasa, 26 Mei 2009

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LISAN BAHASA MELAYU
DENGAN PENDEKATAN KOMUNIKATIF

1.0 PENDAHULUAN


Dalam pengajaran kemahiran lisan, matlamat akhir yang ingin dicapai oleh pelajar ialah supaya mereka boleh menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Dengan kata lain pelajar-pelajar boleh menggunakan bahasa untuk berhubung dengan pihak lain dalam berbagai-bagai situasi. Pendekatan komunikatif tidak mementingkan penguasaan bahasa secara pencilan tetapi pendekatan ini menitikberatkan penguasaan pelajar dalam kecekapan berkomunikasi iaitu cekap menyuarakan isi hati dan fikiran sendiri dengan menggunakan kecekapan nahu (tatabahasa), sosiobudaya dan kognitif pelajar itu sendiri.
Munby (dlm Juriah Long:1980), menyatakan bahawa kecekapan nahu ialah cekap dalam menggunakan bentuk-bentuk bahasa seperti penggunaaan kosa kata, bentuk kata, ayat, semantik dan fonologi. Kecekapan komunikasi melibatkan kecekapan sosiobudaya iaitu pengetahuan dan kemahiran bahasa yang berkait rapat dengan latar dan persekitaran sosial pertuturan itu dilakukan. Tegasnya, kecekapan nahu dan kecekapan sosiobudaya berkait rapat dan tidak boleh dipinggirkan. Individu yang berkomunikasi tanpa pengetahuan sosiobudaya dan latar budaya dianggap tidak berbudaya (kurang adab) dan tidak tahu berbahasa.

2.0 PENERAPAN PENDEKATAN KOMUNIKATIF DALAM PENGAJARAN

Kalau kita semak Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) bahasa Melayu Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, kemahiran interpersonal menduduki tempat yang pertama dalam senarai Hasil Pembelajaran Utama (HPU) yang perlu diajar dan dikuasai oleh pelajar-pelajar. Menyedari betapa pentingnya kemahiran interpersonal ini diajar kepada pelajar-pelajar, maka tujuan penulisan ini adalah untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan berkaitan penerapan pendekatan komunikatif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, khususnya kemahiran lisan (bertutur dan mendengar)
Dalam suasana pengajaran dan pembelajaran, aspek lisan (kemahiran mendengar dan bertutur) sering diabaikan. Guru-guru menganggap aspek lisan tidak penting dan tidak membantu dalam peningkatan prestasi PMR dan SPM. Justeru, tidak mustahil ramai pelajar kita yang tidak mahir dalam berkomunikasi. Guru-guru pula lebih terdorong mengajar item-item yang disoal dalam soalan PMR dan SPM. bahasa Melayu secara pencilan. Banyak perancangan strategik diwujudkan khusus untuk memenuhi pencapaian yang saya maksudkan iaitu cemerlang dalam SPM dan PMR.
Dalam perbualan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, pelajar kita bukan sahaja lemah dalam aspek gramatikal malahan lemah dan tidak cekap dalam aspek sosial bahasa itu dituturkan. Contohnya, pelajar bukan Melayu menggunakan kata ganti diri orang kedua ’awak atau kamu’ kepada guru atau orang yang lebih dewasa daripadanya. . Hal ini tentulah menjejaskan pemahaman dan kualiti perhubungan antara penutur berkenaan.
Pelbagai situasi boleh diwujudkan bagi memotivasikan pelajar menggunakan kemahiran lisan melalui pendekatan komunikatif. Guru hendaklah kreatif dan bijak dalam memilih isi pelajaran yang disampaikan. Sebelum aktiviti komunikasi itu hendak dilaksanakan, guru hendaklah memberitahu pelajar-pelajarnya apakah tujuan aktiviti itu dilakukan. Adakah tujuan komunikasi itu untuk menjemput seseorang ke majlis keramaian atau adakah tujuan komunikasi itu untuk mengadu masalah, memberitahu hal, memaklumkan, memberikan komen dan seumpamanya. Dengan mengetahui tujuan sesuatu komunikasi, kita dapat menentukan bentuk-bentuk bahasa yang akan digunakan dalam perbualan berkenaan. Bentuk-bentuk bahasa berbeza mengikut situasi. Kalau kita berbual bersama-sama rakan sebaya, bentuk-bentuk bahasa mesra rakan sebaya sesuai digunakan. Kata ganti diri, kamu, awak, engkau sesuai digunakan. Jika situasi perbualan bersama-sama guru atau orang yang lebih dewasa misalnya, kata ganti diri, cikgu, tuan, pak cik, makcik dan sebagainya sesuai digunakan untuk menyapa individu berbenaan.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, jika guru ingin pelajar-pelajarnya menguasai perkara 1.0: iaitu berinteraksi untuk menjalin dan mempererat hubungan mesra (Rujuk Huraian Sukatan Pelajaran bahasa Melayu Tingkatan 1 – Ting. 5) guru hendaklah terlebih dahulu memberitahu pelajar-pelajarnya tentang tujuan komunikasi itu, iaitu untuk berbual dan mempererat hubungan mesra. Setelah pelajar mengetahui tujuan komunikasi tersebut, guru boleh mengadakan sesi perbincangan apakah bentuk-bentuk bahasa yang sesuai digunakan.dan makna sosial yang dihasilkan.
Littlewood (dlm Juriah Long et.al:1990) menyatakan bahawa aktiviti komunikatif perlu melihat beberapa perkara iaitu, peringkat prakomunikatif dan peringkat kedua iaitu, aktiviti komunikatif. Peringkat prakomunikatif, dimulakan dengan penyampaian butir-butir bahasa, iaitu struktur dan fungsi serta latihan terkawal. Peringkat kedua, guru menyediakan situasi bagi membolehkan para pelajar menggunakan bahasa pada peringkat prakomunikatif untuk aktiviti komunikasi yang sebenarnya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah menyampaikan pesanan, panduan, dan arahan. Berikut diperturunkan sedikit sebanyak strategi pengajaran bahasa Melayu lisan bersandarkan pendekatan komunikatif yang dimaksudkan.

Tajuk
: Meniti kejayaan
HPU
: 1.0 Berinteraksi untuk menjalin dan mempererat hubungan mesra
HPK
: 1.1 Berbual dan berbicara tentang perkara yang berkaitan dengan kehidupan harian yang menyentuh diri, rakan, dan masyarakat dengan menggunakan kata, intonasi dan nada yang sesuai
objektif
: Pelajar-pelajar dapat
1. Menggunakan kata-kata bertatasusila dalam perbualan.
2. Melafazkan kata-kata dengan intonasi dan nada yang sesuai
2. Menulis karangan bentuk prosa
Aktiviti
1. Memperdengarkan perbualan daripada alat perakam suara

2. Pelajar diminta mendengar perbualan tersebut dari segi:
- intonasi suara, dan nada

3. Minta pelajar mencatat bentuk-bentuk bahasa yang digunakan dalam perbualan.
4. Latih tubi menyebut bentuk-bentuk bahasa yang didengar dengan intonasi dan nada yang sesuai. Jika perlu rakaman tersebut boleh diulang dengar untuk mengenal pasti intonasi dan nada yang digunakan.
5. Guru mengedarkan bahan bercetak dan pelajar-pelajar membaca petikan tersebut.
6. Guru meminta pelajar-pelajar menyebut kata-kata bertatasusila dengan betul.
7. Minta beberapa orang pelajar berlakon dengan panduan skrip yang disediakan (Penekanan pada bentuk kata bertatasusial, intonasi, dan unsur-unsur paralinguistik)
Aktiviti susulan
1. Menulis karangan prosa (menukarkan ayat dialog kepada bentuk ayat cakap pindah)




Lampiran 1

Bacalah petikan wawancara di bawah ini. Kemudian, lakonkan bersama-sama rakan anda di dalam kelas.

Mawi
: Assalamualaikum, Dato’ (Mawi menghulurkan tangan bersalaman dengan Dato’ Kay)
Dato’
: Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. (mengalu-alukan kedatangan Mawi dan menyuruh Mawi duduk)
Mawi
: Saya, Mawi. Saya wartawan majalah Alaf Siber. Saya bercadang untuk mewawancara Dato’ tentang kejayaan Dato’ dalam bidang perniagaan. Itu pun jika Dato’ tidak keberatan.
Dato’ Kay
: Terima kasih kerana majalah Alaf Siber sudi memilih saya untuk diwawancara. Saya tiada apa-apa halangan.
Mawi
: Bolehkah kita mulakan, Dato’?
Dato’ Kay
: Silakan.
Mawi
: Soalan pertama daripada saya. Bagaimanakah bermulanya kehidupan Dato’ dalam bidang perniagaan ini?
Dato’ Kay
: Oh, panjang ceritanya! Dulu, Saya tak bermimpi pun nak menceburi bidang perniagaan ni. Semuanya bermula secara kebetulan. Selepas bapa saya meninggal dunia, saya mengusahakan kebun kelapa milik arwah bapa. Ketika itu, harga kelapa murah. Jadi saya buka gerai jual air kelapa muda.
Mawi
: Apa berlaku seterusnya, Dato’?
Dato Kay’
: (Sambil tersenyum) Setelah tiga tahun menjual air kelapa muda, saya buka gerai di bandar Teluk Intan. Permintaan air kelapa muda meningkat. Saya membekalkan kelapa muda kepada pihak pengusaha hotel di Ipoh dan di Kuala Lumpur.
Mawi
: Waktu tu, Usia Dato’ berapa tahun?
Dato’ Kay
: Waktu tu, umur saya baru 25 tahun. Berkat berjimat cermat, saya berjaya mengumpulkan wang hasil perniagaan.
Mawi
: Bila Dato’ berjaya membuka kilang santan ni?
Dato’ Kay
: Saya mengambil kursus keusahawanan anjuran Mara. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada, saya memberanikan diri membuka kilang santan.
(Sambil menarik nafas lega) Alhamdulillah, setakat ini kilang saya dah 10 tahun beroperasi. Kebanyakan pekerja di kilang saya tu, anak tempatan.
Mawi
: (tersenyum). Tahniah atas kejayaan Dato’ dalam bidang perniagaan. Saya bagi pihak Alaf Siber merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama Dato’.
Dato’ Kay
: Sama-sama. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak majalah Alaf Siber kerana sudi mengetengahkan saya dalam wawancara ini.


(Disesuaikan daripada Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan Tiga, 2007 (hal. 141) :Dewan Bahasa Dan Pustaka, K.Lumpur )










BIBLIOGRAFI

1. Asmah Haji Omar (2007), Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media, Dewan Bahasa dan Pustaka: K. Lumpur
2. Juriah Long et.al (1990), Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia, Fajar Bakti: P.Jaya Selangor
3. Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan Tiga(2007), Kementerian Pelajaran Malaysia (DBP) K.Lumpur
4. _______________(2003) Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Tiga, Pusat Perkembangan Kurikulum: K.Lumpur
5. Mohd Azhar et.al (2006), Permainan Kreatif, PTS Profesional, Selangor

Sabtu, 23 Mei 2009

SAJAK 7

BAGAN DATOH


Bagan Datoh
kuselusuri daerahmu di suatu musim
awan mendung membawa khabar duka
kelapa tiada harga
jeti penambang merawat luka di bibir senja.

Bagan Datoh
suara engkaukah yang mengusik tidurku
tersendu di malam penantian
pada nikmatnya pembangunan.
Pun begitu
kau petani dan nelayan
masih gagah berdiri
di tengah keriuhan ICT
menyiram tanah tercinta
dengan peluh baktimu
sambil membilang bilah-bilah hari yang tak pasti
tanpa piket dan demontrasi.

Kini
Bagan Datoh kuselusuri lagi
luka di jeti kian sembuh
dalam wajah baru
ia menyapa
katanya:
di sini bakal bersinar mentari
meratakan cahayanya
malam tentunya tidur lena
siang berpesta fatamorgana
bunga-bunga kemajuan
menggamit mesra.

Bagan Datoh
kulihat anak-anak
berlari meniti pelangi.

Mahayuddin Ibas
Karyawan Pk T.Intan

SAJAK 6

TITIPAN RINDU BUAT BONDA

(SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU)

Tatkala sendirian begini
aku sering ke sini
menguliti cerita-cerita lama
tentang episod-episod penghidupan
yang kita kongsi perjalanannya.

Tatkala sendirian begini
aku terkenang wajah tuamu
gigih menukang hidup
dengan kekuatan tulang-tulang peribadi
bersama resepi tiang-tiang pengalaman
meski lantai kemiskinan kian mereput
diinjak derita sengsara bertimpa.
Dalam menghitung daun-daun usia
yang menapak ke hujung musim
kau masih tabah
menyemai benih-benih harapan
dengan segala kudrat dan baja tawakal
sedang rembang petang masih setia
melingkari hidup kita.

Bonda
maafkan aku
kerana tak mampu melerai helaian deritamu
dan rembang petang itu
terus beradu di wajahmu.


Mahayuddin Ibas
Perkampungasn Penulis Muda
Pangkor 2003

(BERITA MINGGU 8 FEBRUARI 2004)

SAJAK 5

GURU - KITALAH PEJUANG SEBENARNYA

Bagai hari-hari kelmarin
kali ini kau datang lagi
bersama gemilang mentari pagi
tersenyumlah kuntum-kuntum seroja
wangi kasturi di taman bonda
kedatangan disambut hadirnya dijemput
dalam tepuk gemuruh bergema paluan kompang
kau dijulang ke tengah gelanggang
laksana wira terbilang.

Kau pejuang setia di bawah panji-panji pendidikan
melayari bahtera ke pulau bahagia meredah ombak resah bertali arus
waja gagah laksana SiTuah
patah tiang bertongkat alang
mengatur langkah penuh sopan dan berhemah
dalam gelanggang yang maha besar karenahnya.

Dunia kita adalah persekolahan
mengajar, mendidik,
di bilik-bilik darjah
kita mahaguru terbilang
dengan pedagogi dan epistemologi terkini
dengan kecanggihan IT dan dunia sibernya
penggerak budaya membaca
pencetus budaya ilmu dalam era
serba bestari.

Para guru budiman, buka mata bukalah minda
langit cerah kian terbuka
dunia maya terjaring di hujung jari kita.
percepat langkah
bangun!
bangun mendepani zaman
mengadap dunia baru
keras mencakar.
Ayuh kita bina wawasan masa depan
musim baru menuntut sebuah pengorbanan
dalam wadah perjuangan yang hakiki
menganjak paradigma dan gerak fikir
dalam mengenal makrifat dan kekuatan jati diri
mengangkat martabat dan maruah diri
guru cemerlang pendidikan gemilang
dalam dunia globalisasi tanpa sempadan.
“SELAMAT HARI GURU”, CIKGU.


Mahayuddin Ibas
SMK Seri Kandi
T.INTAN
26 NOV 2004