Rabu, 27 Januari 2010

etimologi kata

Bagaimanakah sesuatu kata itu tercipta?
Salah satu ialah melalui padanan bunyi. Suatu ketika dulu, sekitar abad ke-15, di suatu tempat yang tak tau tempatnya. Tetapi latar masyarakatnya orang Melayu kampung. Hidup serba sederhana. Antara hiburan masyarakat ketika itu bermain layang-layang.
Tersebutlah kisah seorang 'mat saleh' terpegun melihat orang Melayu bermain layang-layang. Maka mat saleh tu pun teringin nak main layang-layang. Dipinjmnya layang-layang pak Mael. Sedang dia asyik tarik dan lepas benang layang-layang, entah macam mana bayu berhenti berpuput. Layang-layang terjunam dan tersangkut atas pokok mempelam.Mat Saleh mai akal macam mana nak tarik layang-layang yang tersangkut tu Pak Mael pun menjerit dari hujung bendang,"kait layang-layang tu dgn galah. Pak Mael cakap dalam bahasa Melayu. Mat Saleh tu terpinga-pinga. Pak Mael jerit berulang kali. "Kait...kait..kait layang-layang tu." Bermula dari peristiwa itu, layang-layang disebut kait(eja:kite) oleh orang putih. Kesimpulannya perkataan kite (asalnya kait - jolok)berasal daripada perkataan bahasa Melayu.
Alangkah hebatnya bahasaku...

Isnin, 28 September 2009

SEMANTIK

SINONIM

Sinonim ialah kesamaan makna, atau kata-kata yang memiliki makna yang sama atau hampir sama. Contoh,
- kereta sama erti dengan motokar
- sejuk sama erti dengan dingin

namun begitu, terdapat sejumlah perkataan yang tidak memiliki makna yang sama 100%, walaupun kedua-dua perkataan tersebut bersinonim. Contoh,

1. wanita
2. gadis

wanita dan gadis merujuk manusia yang sama dari segi jantinanya. Namun begitu, dari segi semantiknya, wanita mempunyai ciri-ciri 'dewasa' manakala gadis memiliki ciri-ciri semantik 'muda'.

Terdapat pula perkataan yang bersinonim tetapi memiliki nilai rasa yang berbeza-beza. Contoh,

3. panas
4. hangat

Kedua-dua perkataan no. (3) dan no. (4) memiliki maksud yang sama tetapi berlainan nilai rasa. Contoh,
1. Air itu panas.
2. Air itu hangat.

Kedua-dua perkataan iaitu panas dan hangat, betul penggunaannya dalam ayat. maknanya, perkataan hangat dan panas boleh bertukar ganti, sama ada air panas atau air hangat boleh diterima.

Bagaimanakah pula dengan ayat-ayat di bawah ini?

3. Cuaca hari ini panas.
4. Cuaca hari ini hangat.

Dari segi semantik, perkataan panas dan perkataan hangat sudah berbeza. Perkataan panas dalam ayat 3 betul dari segi nilai rasa cuaca. Perkataan hangat tidak menunjukkan nilai rasa yang tepat bagi cuaca.

Demikianlah sedikit sebanyak yang dapat dikongsi berkaitan semantik bagi perkataan bersinonim.

Khamis, 27 Ogos 2009

MAKNA PERKATAAN

Apakah perbezaan antara perkataan 'dapat' dan 'boleh'?


Sekilas pandang kedua-duanya tidak ada bezanya. Namun begitu, jika kita lihat dalam konteks ayat, jelas perbezaannya.


Makna perkataan 'dapat' merujuk keupayaan atau kemampuan manakala makna perkataan 'boleh' berkait rapat dengan keizinan.




Contoh ayat:


1. Bolehkah saya masuk ke dalam dewan kuliah?


2. Awak tidak boleh masuk ke dalam dewan kuliah.


3. Dapatlah awak mendaki Gunung Kinabalu?


4. Saya tidak dapat mendaki Gunung Kinabalu.


Ulasan: Perkataan 'boleh' dalam ayat 1 dan ayat 2 bermaksud keizinan manakala maksud perkataan 'dapat' dalam ayat 3 dan ayat 4 bermaksud keupayaan atau kemampuan.

Ujian: Nyatakan sama ada ayat yang berikut betul atau salah




1. Oleh sebab sakit, Ali tidak boleh hadir ke sekolah ( ).


2. Cikgu tidak boleh mengajar kerana suasana dalam kelas yang bising ( ).


3. Burung itu tidak dapat terbang kerana sayapnya patah ( ).


4. Semua pelajar boleh lulus jika belajar dengan bersungguh-sungguh.


Isnin, 17 Ogos 2009

PENULISAN



Judul Buku : Anak-Anak harapan
Antologi Bersama Hari Guru Perak


Sinopsis : Buku ini merupakan himpunan karya pelbagai genre pemenang peraduan mengarang hari Guru Perak 1995. Karya saya, 'padamu guru' dan 'anak generasi' hanya mendapat hadiah sagu hati


Judul : Rumah Pusaka
Penulis : Antologi bersama
Tahun terbit : 1989
Penerbit : JPN Perak
Sinopsis :
Himpunan karya pelbagai genre pemenang-pemenang hadiah sastera Hari Guru perak 1989. Karya saya 'Anak Generasi' merupakan karya awal saya dalam penulisan.



Jumaat, 31 Julai 2009

SAJAK MERDEKA

DI TEBING SEJARAH PASIR SALAK

Menyelusuri tebing sejarahmu yang panjang
aku kembali menghitung
jejak-jejak saudaraku:
jejak saudara demi ayahanda
jejak ayahanda membina keluarga
sakit sehari berabad peritnya.
Di tebing mandian ini
masih segar terdengar
jerit pekik saudara-saudaraku
menyinsing lengan menghunus keris sejarah
rancak bertingkah menghalau sipenjajah
di wajah mengalir keringat menyimbah
Pasir Salak katamu,
bakal menakung darah
Inggeris keparat lari
menyerah kalah.

Dari keringat nestapa saudara-saudaraku
warisan ini berjaya kita bangunkan
dari tanah sekepal tumbuh merimbun
jadi mukim kenyataan
jadi taman peradaban.


Mahayuddin Ibas
(Mingguan Malaysia)
POHON KEHIDUPAN

Pohon-pohon yang merendang
dalam taman kehidupan
jadi teduhan anak-anak
tatkala kelelahan
berlarian di celah-celah denai perjalanan
sayup memanjang tiada titik
kesudahan.

Buah-buah kehidupan yang meranum
di puncak perjalanan itu
adalah tuaian nestapa
dari benih-benih penantian yang panjang
terakam dalam simpang-siur pengalaman
terbina dari akar rerambutku
teradun dalam lembut air kasihMu.


Terima kasih pohon-pohon kehidupan
kerana menghulur secebis kasih
dari untaian rahmatMu yang tak terhitung
dengan siraman doa nirmala
bergayut di dahan tawakal
dan mengutip buah-buah kemenangan
di puncak
KEINSAFAN...

Mahayuddin Abas
Teluk Intan Pk
(Berita Minggu)




MANGGIS II


Sebiji manggis yang luruh
di belakang rumahku
kujamah isinya
alangkah manis rasanya.
Sebiji manggis
kutenung di balik hitamnya
terserlah putih hatinya.

Sebiji manggis
hitam kulitnya
manis budinya
meskipun hitam kulitnya
tapi putih hatinya.

MBI
TI
(Mingguan Malaysia)




SEBUAH RUMAH

Sudah sekian lama
rumah tua
di pinggir bukit
terbiar kosong
tanpa gelak tawa dan tangisan anak kecil
tanpa leteren ibu di dapur
tiada lagi suara serak ayah
mengalunkan ayat-ayat suci
dan ucap salam hidangan selamat malam.

Ke mana perginya ayah bonda
yang mendewasakan rumah kita ?
Ke mana menghilangnya anak-anak
penerus harapan bonda ?

Rumah itu milik kita sebenarnya
yang berbudi bahasa, berjasa, berbudaya
namun pernahkah terfikir
untuk kita mengucapkan
terima kasih ?

Rumah papan atap rumbia di pinggir bukit
tidak lagi dikenang dan dikunjungi
kerana mereka sudah berjaya
memiliki rumah baru
kondominium mewah
di puncak bukit.


MBI
Lumut Perak
(Berita Minggu)

Rabu, 27 Mei 2009

SAJAK KEPADA SEORANG PENGETUA

SAJAK UNTUK SEORANG PENGETUA
(Khas buat Pn. Hjh. Noraini Hasbollah
Mantan Pengetua SMK Seri Kandi)


TIBA SAAT DAN JANJINYA
KITAPUN DIPANGGIL
MEMENUHI DEWAN KEIKHLASAN
SAMBIL MEMBILANG BUAH-BUAH KEJAYAAN
YANG MERANUM DALAM TAMAN KENANGAN.

SELAMA INI AKU TAK PERNAH KENAL SIAPA DIA
MESKI NAMANYA SERINGKU DENGAR
KERANA AKU ADA SEBELUM DIA ADA
DIA ADA SEMASA AKU TIADA.

KETIKA NAMANYA DINOBAT MENGEMUDI SERI KANDI
KALA KITA MERABA-RABA KEHILANGAN KETUA
BARU KUKENAL SIAPA DIA
WARNA PERIBADINYA BERKILAU DAN GEMILANG
MENEROBOS KE SEGENAP RUANG RASA.

PERJALANANNYA BUKAN SEMUDAH YANG KITA SANGKA
DARI SERI PERAK DIA DATANG
DENGAN SEMANGAT MENYALA
MEMBAWA OBOR CITA MEMBARA
DARI SEMARAK BUDI SEMARAK BESTARI
DIA MELAKAR CITRA
WARGA CEMERLANG SERI KANDI GEMILANG.

DIA YANG KITA KENAL
ADALAH SRIKANDI BERILMU
BERKARISMA MENGUNGGULI TERAJU
PENYAYANG DAN PRIHATIN
TIARA PIMPINANNYA BERSEMI SEJAK MULA
TERUNGKAP DALAM CAHAYA MINDA
MENYERLAH KETOKOHAN MEMACU KEBITARAAN.

DI MANA-MANA PUN BERADA
DIA ADALAH IBU ADALAH BAPA YANG PERAMAH
MELONTAR IDEA PENUH HIKMAH
DALAM LEMBUT SANTUN SENYUM TAWA
DIA BIJAK MENGATUR BICARA MENYUSUN AGENDA
KERANA ILMU MAKRIFAT ANAK KUNCI ADALAH MILIKNYA.

DIA PEMIMPIN BERWAWASAN
KADANG KALA TINDAKNYA KERAS, TEGAS,
BERKAT DOA NIRMALA SEKUNTUM BUNGA
HARUMNYA SEGUNUNG HARAP
SEBUAH CINTA MAHU DIGILAP.

TIBALAH DI SUATU PETANG
SEBELUM BERANGKAT PULANG
DI BAWAH LONGGOKAN KOTAK-KOTAK PERIBADI
AKU CUBA MENYELONGKAR ISI HATI DAN BUDI
KATANYA, ‘AKU UMPAMA MUSAFIR DI ALAM FANA’
SELAGI DIRI BERASA TINGGI
SELAGI ITU TAK KITA KENAL RUMPUT DI BUMI
SELAGI DIRI TAK BERASA HAMBA
TAK KITA KENAL AL-KHALIQ PUNYA KUASA

AKU PASRAH KETENTUANNYA...


PETANG ITU
KETIKA PINTU BILIK DIBUKA
SEBELUM KOTAK-KOTAK DIBAWA PERGI
KULIHAT DI PIPINYA ADA BINTIK-BINTIK JERNIH
JATUH DI KAKI
LALU KUTANYA, ‘MENGAPA’?
JAWABNYA MESRA
INILAH TITIS-TITIS KASIH DARI LANGIT
BUAT HAMBA MUSAFIR DI ALAM FANA.

AKU TERSENYUM
AKU SUNGGUH-SUNGGUH TAK MENGERTI
RUPANYA DIA MENANGIS DI MALAM HARI.

DARI SERI PERAK DIA DATANG
KE SERI PERAK JUA DIA KEMBALI
KEMBALI MENUNAIKAN
AMANAH DAN JANJI
MENABUR JASA DAN BAKTI
UNTUK IBU PERTIWI.

Sebelum saat perpisahan itu menjelma
sebelum detik pemergian itu bermula
berbanyak ucap kasih dan rindu dendam
semoga hari esok berbunga buah kejayaan
bersama sihatnya tubuh badan
bersama kuatnya tindak iltizam
bersama bersihnya hati nurani
dengan jiwa yang tenang
mencerna masa depan.

MBI
Sajak ini dibaca ketika majlis
Jamuan Makan Malam ’Jasamu dikenang’
Restoran Sutera Indah T.Intan