Rabu, 28 Disember 2011

UCAPAN ALU-ALUAN PPD H.PK


SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG
PEGAWAI PELAJARAN DAERAH HILIR PERAK

Terlebih dahulu saya merakamkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana kita dapat dapat berkumpul dan memeriahkan agenda prima iaitu Pelancaran Kempen Budi bahasa dan Nilai-Nilai Murni Serta Program Pembudayaan Adab Peringkat Negeri Perak tahun 2005. Dalam kesempatan ruang dan peluang yang ada ini, saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Perak kerana memberikan sepenuh kepercayaan kepada pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab yang murni ini.
                Tidak dapat dinafikan bahawa fenomena keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin pelajar-pelajar akhir-akhir ini membimbangkan semua pihak termasuk ibu bapa. Kebimbangan ibu bapa memang ada asasnya jika dilihat daripada peningkatan jumlah kes pada setiap tahun dan bentuk salah laku yang dilaporkan begitu mengejutkan dan di luar batas kemampuan perlakuan seorang manusia yang masih di bangku sekolah.
                Gejala penagihan dadah, perlakuan vandalisme, gangsterisme, dan jenayah berat yang lain seolah-olah telah menjadi budaya yang sukar dibendung. Pengaruh budaya cosmopolitan natijah daripada percikan globalisasi telah menyebabkan pelajar-pelajar tersasar hala tuju dan tercalar maruah diri. Budaya penyayang dan hormat pada yang tua semakin terhakis, tradisi bantu-membantu pada yang memerlukan, bersyukur dan berterima kasih pada yang memberi sudah tidak dipedulikan dan dipinggirkan. Gaya hidup berpaksikan kemajuan fizikal semata-mata telah mendominasikan seluruh ruang lingkup kehidupan masa kini. Nilai hidup bertunjangkan akar budaya masyarakat tradisi semakin rapuh dan tidak dihargai.
                Pelancaran program sebegini sangat relevan dengan keadaan semasa dan penglibatan semua pihak pastinya dapat mengangkat dan memperkasakan dunia pendidikan dan dapat mengembalikan keluhuran peribadi para pelajar kita.
                Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Perak kerana meletakkan kepercayaan pada daerah Hilir perak dalam menunaikan amanah ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pihak-pihak yang membantu dari segi sumbangan material dan idea bagi menjayakan majlis pada hari ini.

Sekian dan terima kasih.

Hj. Muhamat Roli B. Hj. Hassan AMP
Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan