Rabu, 28 Disember 2011

UCAPAN ALU-ALUAN PENGARAH PELAJARAN PK


SEKALUNG BUDI SEUNTAI BAHASA
PENGARAH PELAJARAN PERAK

Saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah. S.w.t kerana dengan limpah kurnianya dapat saya mencoretkan sepatah dua kata dalam buku atur cara sempena Pelancaran Kempen Budi bahasa dan Nilai-Nilai Murni serta Program Pembudayaan Adab Peringkat negeri perak Tahun 2005.
Sesungguhnya, program yan dilancarkan pada hari ini memang tepat pada masanya iaitu ketika masyarakat kita pada hari ini tidak putus-putus dilanda krisi nilai dan kian terhakisnya budi bahasa yang menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita. Senario yang membimbangkan terutama yang membabitkan remaja dan pelajar-pelajar sekolah seperti meningkatnya perlakuan jenayah, merebaknya penagihan dadah dan meluasnya gejala sosial tentulah dapat mengeruhkan hubungan interpersonal antara masyarakat dan institusi pendidikan serta menjejaskan iklim persekolahan itu sendiri. Justeru, suatu langkah yang tersusun dan bersepadu perlu digembleng daripada semua pihak agar kelangsungan hidup masyarakat kita dapat dipertahankan dan dilestarikan.
                Dalam konteks pendidikan, keruntuhan nilai dan merosotnya amalan berbudi bahasa akan menjelma berbagai-bagai kemungkinan dan dikhuatiri perjuangan masa depan sesuatu bangsa akan terus digerhanai oleh warisan kepimpinan yang lemah dan menjejaskan usaha kerajaan melahirkan generasi yang bermaruah bagi membangunkan negara bangsa yang bertamadun dan bermartabat.
                Bagi pihak Jabatan Pelajaran Perak, saya mengucapkan syabas dan sekalung tahniah kepada Pejabat Pelajaran Hilir Perak serta pihak-pihak yang telah bertungkus-lumus menggembleng tenaga dan idea dalam menjayakan hasrat dan cita-cita murni ini. Diharapkan melalui program yang dirancang secara tersusun dan bersistem dapat kita mengorak langkah, sederap dalam tindakan bersandarkan kebijaksanaan menuju malamat yang satu iaitu kecemerlangan ilmu dan keilmuan, kegemilangan wawasan serta keterbilangan peradaban bangsa melampaui zamannya.

Sekian, terima kasih.

Lt. Kolonel Ir. Mohammed Zakaria B. Mohd Noor
PMP., AMN., PPT., PPA.
Pengarah Pelajaran Perak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan