Sabtu, 23 Mei 2009

BAHASA JIWA BANGSA

(MBI)


Laksamana Hang Tuah pernah berkata, “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”. Ungkapan sedemikian diucapkan oleh Hang Tuah dengan penuh sedar dan penuh tanggungjawab betapa bangsa Melayu ketika itu merupakan bangsa yang hebat dan dihormati. Siapakah Hang Tuah itu dan mengapakah tokoh itu berkata demikian? Dalam Hikayat Hang Tuah dinyatakan bahawa Hang Tuah merupakan ikon Melayu yang serba ideal. Hang Tuah digambarkan memiliki kesaktian yang luar biasa. Keperwiraannya mengatasi panglima-panglima perang sezaman dengannya. Hang Tuah manusia yang memiliki kecerdasan bahasa, bijak mengatur strategi perang, patriotik serta menjadi duta bagi kerajaan Melayu Melaka ketika itu.

Siapakah pula manusia Melayu yang dinyatakan oleh Laksamana Hang Tuah itu? Fasal 160 Perlembagaan Malaysia menyebutkan bahawa Melayu itu adalah,
“…seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan,
(a) lahir sebelum hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura, atau
(b) Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut”.
Dalam konteks yang lebih luas dan mengambil kira suasana hari ini, sesiapa sahaja boleh dikategorikan sebagai Melayu. Etnik Jawa, Banjar, Bugis, Kampar, waima orang yang ‘masuk Melayu’ pun boleh dianggap sebagai Melayu.

Berbalik pada kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu Hilang di dunia”. Memang tidak dinafikan bangsa Melayu ketika itu iaitu sejak abad ke-13 telah muncul sebagai bangsa yang disegani. Kekuatan kerajaan Melayu ketika itu bukan kerana kepintaran dan kecekapan pemerintahnya semata-mata malahan kerana budaya masyarakat Melayu ketika itu yang memberikan sanjungan tinggi pada identiti bangsanya sendiri. Identiti bangsa yang penulis maksudkan ialah bahasa Melayu, Agama Islam dan adat Melayu. Ketiga-tiga unsur ini menjadi nadi kekuatan kerajaan Melayu yang bercambah dan berselerak di Nusantara ketika itu.
Jika dilihat pada suasana dunia pada hari ini, iaitu era globalisasi yang mementingkan pembangunan material semata-mata, masyarakat semakin melupakan dan meminggirkan identiti bangsanya sendiri. Kita tidak pasti sama ada “Takkan Melayu Hilang Di dunia” yang diwara-warakan itu masih relevan atau sebaliknya. Penulis berkata demikian kerana telah ada riak-riak yang membuatkan keyakinan kita terhakis pada ungkapan keramat berkenaan.

Dari segi fizikal, memang tidak dinafikan tubuh badan Melayu masih wujud dan insyaallah akan terus wujud. Namun begitu, pada hemat penulis, jiwa atau roh Melayu semakin hari semakin merosot dan terus layu. Rata-rata orang Melayu yang kulitnya sawo matang, tidak ambil pusing dengan bahasa dan agamanya sendiri. Mereka malu mengaku diri mereka sebagai orang Melayu. Mereka tidak yakin dan malu mengaku kemampuan mereka berbahasa Melayu. Kononnya mereka lebih mahir berbahasa Inggeris kerana sekian lama hidup dalam masyarakat berbudaya Inggeris. Lebih mendukacitakan apabila ada pemimpin Melayu sendiri yang tidak mahu bertutur dalam bahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Ironisnya, bangsa bukan Melayu seperti Cina dan India menunjukkan kemampuan berbahasa jauh lebih baik daripada orang Melayu itu sendiri. Daripada pelajar-pelajar sekolah hinggalah pemimpin-pemimpin tertinggi; mereka menunjukkan kemampuan berbahasa Melayu dengan baik dan berjaya mengatasi orang-orang Melayu sendiri dari segi kelancaran, kepersisan berbahasa dan lenggang lenggok bahasa yang digunakan. Keadaan ini tentulah memalukan bangsa Melayu dan tidak membawa keuntungan pada kelangsungan bahasa Melayu di bumi Malaysia itu sendiri.

Sebagaimana yang disebutkan dalam bahagian awal tadi, hubungan bangsa Melayu dengan agama Islam begitu erat.. Dalam sebuah lagu, seniman agung P.Ramlee menyatakan bahawa irama dan lagu tidak boleh dipisahkan, jika dipisah pincanglah lagu. Sarjana Barat iaitu Van Der Kroef membuat perbandingan hubungan antara Melayu dan Agama Islam ibarat tubuh badan dan nyawa. Melayu tanpa Islam ibarat tubuh tanpa nyawa. Begitulahlah juga hubungan antara bahasa Melayu dengan Islam.

Bahasa Melayu sejak ratusan tahun lamanya telah digunakan sebagai bahasa untuk mengembangkan agama Islam itu sendiri. Banyak kosa kata dan istilah yang berhubung kait dengan konsep-konsep seperti keagamaan, perundangan, pendidikan dan sebagainya diasimilasi dalam bahasa Melayu. Tulisan jawi mengambil alih dan menjalar masuk dalam budaya Melayu menggantikan huruf-huruf kawi dan pallava.

Penghargaan masyarakat silam pada bahasa Melayu cukup kuat. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di perpulauan Melayu. Bahasa Melayu ditutur dan dipelajari oleh sesiapa sahaja yang ingin berurusan di pelabuhan Melaka. Bahasa Melayu digunakan sebagai pencetus polimik agama dan pengungkap tamadun bangsa.

Sebagai negara yang merdeka dan bermaruah, kita telah mengangkat bahasa Melayu ke kedudukan yang tinggi dan mulia. Untuk memenuhi syarat sebuah negara yang ingin merdeka kita telah memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Dengan bahasa Melayu, kita berjaya memupuk perpaduan, dan membina kekuatan bangsa. Namun begitu, usaha gigih pemimpin terdahulu untuk menjulang negara bangsa melalui pemantapan bahasa menemui jalan kelam apabila fungsi bahasa Melayu dicabar oleh segelintir masyarakat yang jahil dan kosong jiwa. Mereka dengan berani mempertikaikan kewajaran bahasa Melayu dalam menjana kemajuan ekonomi negara.

Dalam bidang pendidikan misalnya, mereka mendesak kerajaan supaya melonggarkan dasar penggunaan bahasa Inggeris di di institusi pengajian tinggi awam terutama yang berkaitan dengan kursus-kursus sains dan teknologi. Kejahilan pihak-pihak tersebut banyak berpunca daripada sikap orang –orang Melayu sendiri yang tidak menunjukkan minat dan keyakinan pada bahasa mereka.


Peranan pemerintah dalam mengangkat kedudukan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya memang dialu-alukan. Dalam konteks negara Malaysia, peranan pemerintah yang didominasi oleh politik Melayu amat diperlukan dan boleh memperkasa bahasa Melayu. Inilah masa yang terbaik bagi kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu boleh berada di mercunya jika kerajaan bertindak sebagai penentu arah tuju bangsa. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu suatu masa dulu menjadi bahasa yang dihormati dengan sokongan sultan dan pemerintah. Bahasa Melayu muncul sebagai saluran utama dalam hubungan komunikasi dan budaya intelektual. Tradisi ilmu berkembang luas dan banyak karya agung dihasilkan dengan menggunakan medium bahasa Melayu. Antaranya, Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Perak, Undang-Undang Johor, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan sebagainya. Ramai ilmuan Islam dijemput ke istana mengajar ilmu agama melalui perantaraan bahasa Melayu.

Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Melayu bukan milik peribadi bangsa Melayu semata-mata tetapi bahasa Melayu adalah milik semua kaum yang mengaku sebagai bangsa Malaysia. Bahasa Melayu bukan setakat dijadikan medium untuk berhubung semata-mata malahan juga digunakan untuk memupuk perpaduan kaum, membina jati diri bangsa sekali gus boleh diangkat menjadi bahasa bernilai tinggi dari segi ekonomi dan maruahnya. Dalam hal ini sekali lagi sikap positif pemerintah terhadap bahasa Melayu boleh membina kesetiaan rakyat pada bahasanya. Sikap kesetiaan ini boleh menjurus rakyat tidak kira bangsa dan agama anutannya menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin sebagaimana yang dilakukan oleh Negara Indonesia, Jepun, Perancis, dan Thailand pada bahasa mereka.

Bahasa Melayu memancarkan kehalusan budi dan nilai estetika budaya penuturnya. Oleh itu, orang yang memiliki kecekapan berbahasa dianggap sebagai pintar budaya masyarakatnya. Orang itu akan dihormati oleh masyarakatnya kerana dikatakan sebagai bersopan-santun dan berbudi bahasa. Keterikatan antara bahasa dan budaya menjelmakan berbagai-bagai ungkapan, dan kata-kata kiasan seperti, ‘Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’, ‘Ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas’, dan sebagainya.
Dalam budaya Melayu, orang yang menggunakan bahasa kesat dan kasar akan dianggap sebagai tidak berilmu atau rendah pemikirannya. Contohnya, dalam masyarakat Melayu, kita menggunakan kata sapaan hormat mengikut jantina, pangkat dalam kekeluargaan, status dalam masyarakat dan sebagainya. Bagi orang lelaki kata sapaan encik atau tuan. Bagi perempuan kata sapaan cik, cik puan atau puan digunakan. Dalam hubungan kekeluargaan, kata sapaan makcik, pakcik, mak long, pak lang dan sebagainya digunakan. Semua ini menggambarkan kehalusan budi dan tanda hormat antara satu sama lain.
Bangsa Melayu dikatakan memiliki kehebatan kerana mampu menjelmakan pemikiran kreatif melalui bahasanya. Daripada pemikiran kreatif inilah wujudnya hasil karya seperti pantun, syair, teromba, gurindam, seloka dan sebagainya. Gaya bahasa yang ditonjolkan dalam karya berkenaan seperti kata perbandingan metafora, simile, peribahasa, dan simpulan bahasa, merupakan pancaran minda dan ketinggian ilmu masyarakat Melayu sejak zaman berzaman. Dengan bahasa juga kita boleh menilai ketinggian tamadun serta falsafah sesuatu bangsa.
Negara kita baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, namun penerimaan dan keyakinan masyarakat kita pada bahasa Melayu masih meragukan. Akibat penjajahan selama lebih 500 tahun, bangsa kita mengalami krisis keyakinan pada identiti bangsa kita sendiri. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pemacu kejayaan dipertikaikan Rata-rata minda generasi kita beranggapan bahawa bahasa untuk kemajuan ialah bahasa penjajah iaitu bahasa Inggeris. Anggapan sedemikian sebenarnya bertitik tolak dari jiwa yang lemah dan tiada harga diri. Jika keadaan ini tidak dibendung secara bersungguh-sungguh dikhuatiri tahap keyakinan orang Melayu pada bahasanya akan beransur-ansur merosot dan terpinggir dalam arus perdana. Tidak mustahil, suatu masa nanti bahasa Melayu akan tinggal sejarah sebagaimana yang berlaku pada bahasa Sanskrit, bahasa Sumeria dan sebagainya.

Perkembangan mutakhir tentang bahasa Melayu memerlukan penggemblengan tenaga dan minda yang bukan sedikit daripada semua pihak terutama yang sayang akan masa depan bahasa dan agamanya. Pada hemat penulis, pemerintah yang didominasi oleh politik Melayu perlu bertindak waras dan tidak gelojoh dalam soal pendidikan. Pemerintah hendaklah menyerahkan urusan pendidikan kepada pihak yang pakar dalam bidangnya. Maknanya, orang politik biarlah menguruskan hal-hal berkaitan politiknya manakala soal pendidikan biarlah diuruskan oleh orang-orang yang pakar dalam bidang pendidikan. Langkah kerajaan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dewasa ini dilihat sebagai suatu langkah mengundur dan tidak patriotik. Kita khuatir, langkah kerajaan itu ibarat kata pepatah, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
Akhirnya, penulis berasa optimis bahawa bahasa Melayu akan terus cemerlang dan terbilang jika ada penyatuan fizikal dan minda orang-orang Melayu. Hakikat ‘ Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ akan terus relevan dan dihayati sampai bila-bila. Sebagai bangsa yang memiliki jiwa , tentunya kita tidak sanggup melihat bahasa kita dipergonjeng sesuka hati oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita juga tidak sanggup melihat anak cucu dan generasi yang akan datang mempersalahkan kita lantaran kealpaan kita membiarkan bahasa Melayu terus terhakis dan akhirnya ditempatkan di muzium-muzium sebagai khazanah untuk tatapan zaman semata-mata.
Bahasa Jiwa Bangsa…!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan